Varian India di Sabah? Tidak benar, kata pengarah kesihatan negeri

Varian India di Sabah? Tidak benar, kata pengarah kesihatan negeri

Menurut mesej yang kini tular, Kota Kinabalu sudah berdepan kes pertama Covid-19 varian India.

Sabah merekodkan 60 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, menurut jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun.
KOTA KINABALU:
Jabatan Kesihatan Sabah menolak dakwaan yang berlegar di media sosial mengenai varian Covid-19 dari India yang dikatakan sudah berada di negeri itu.

“Tidak benar,” kata pengarahnya Dr Christina Rundi dalam satu mesej ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Mesej tular itu memberi amaran supaya orang ramai berjaga-jaga, dengan mendakwa telah menerima “berita sahih” bahawa Kota Kinabalu sudah berdepan kes pertama Covid-19 varian India.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, terdapat 56 kes melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan dalam negara, selain tiga varian yang memerlukan perhatian. Salah satu kes melibatkan varian mutasi berganda B.1.617.1 dari India.

Dr Christina Rundi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal minggu ini berkata, varian Covid-19 itu pertama kali dikesan di India tahun lalu dan diklasifikasikan sebagai VOC di peringkat global, dengan beberapa kajian awal mendapati ia lebih mudah tersebar.

Berikutan itu, kerajaan menyekat penerbangan keluar masuk dari India bagi mengekang penularan varian baharu itu bermula 28 April.

Sabah turut mengenakan sekatan sama terhadap kemasukan pelawat dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka serta sesiapa sahaja yang pernah melawat India, Perancis, Amerika Syarikat, Brazil dan benua Afrika.

Sementara itu, jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun memaklumkan di Twitter bahawa Sabah merekodkan 60 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah itu, 50 kes adalah daripada kluster sedia ada, kata beliau.

“KK di kedudukan teratas (dalam senarai) dengan 18 kes daripada tiga kluster, diikuti Tawau dengan 15 kes yang kebanyakannya daripada kluster Kongsi 8,” kata beliau.
Tambahnya, daerah lain hanya mencatatkan kes satu angka dengan tiada kes direkodkan di 15 daerah lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.