Ujian Covid-19 dipertingkat untuk hadapi gelombang ketiga, kata KP Kesihatan

Ujian Covid-19 dipertingkat untuk hadapi gelombang ketiga, kata KP Kesihatan

Antara langkah kesiapsiagaan utama diambil kerajaan adalah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR.

Secara purata, kira-kira 63,925 ujian Covid-19 dijalankan setiap minggu antara minggu ke-15 hingga ke-18 tahun ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
PETALING JAYA:
Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang ketiga jangkitan Covid-19, menurut Dr Noor Hisham Abdullah.

Antara langkah utama adalah menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR, dan menyumber luar ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta, kata Ketua Pengarah Kesihatan itu dalam kenyataan hari ini.

Ujian RTK-Ag juga akan digunakan bagi tujuan saringan untuk mengesan jangkitan dengan cepat dalam jumlah yang besar, selain menggunakan sampel air liur, sebuah kaedah yang lebih mudah dan cepat.

Beliau memaklumkan tentang langkah-langkah ini di tengah-tengah seruan agar saringan besar-besaran diadakan, susulan peningkatan mendadak jumlah kes dan kematian baru-baru ini.

Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan, beliau berkata, sejak awal tahun ini, 8.5 juta ujian Covid-19 dijalankan, dengan bilangan ujian dipertingkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Secara purata, kira-kira 63,925 ujian dijalankan setiap minggu antara minggu ke-15 hingga ke-18 tahun ini, kata beliau.

Tambah beliau, semua makmal yang menjalankan ujian Covid-19 dikehendaki memasukkan keputusan ujian dalam sistem berpusat yang boleh diakses oleh pejabat kesihatan daerah dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.