
Beliau berkata laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian warganet yang mendakwa ahli keluarga Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan Aidilfitri yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.
Fadzil berkata Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Azmin yang mendiami kediaman tersebut.
“Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada 13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.
Beliau turut menasihati pengguna media sosial lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.