
Ketua Polis Daerah Kulim, Azhar Hashim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sudah diarah menyiasat perkara itu.
Berdasarkan maklumat, katanya, penyanyi berkenaan didakwa pulang ke kampung menggunakan surat kebenaran merentas negeri pasangan jarak jauh ibunya yang tinggal berjauhan dengan bapanya.
“Siasatan masih dijalankan dan kita akan tengok adakah benar apa yang ditularkan di Facebook.
“Sekiranya ada unsur yang menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap artis terbabit,” katanya dipetik Harian Metro, selepas memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya Plaza Tol Lunas di Kulim, Kedah, hari ini.
Sebelum ini, Masya Masyitah atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff dilaporkan memohon maaf dan menjelaskan beliau mendapat “lampu hijau” pihak berkuasa untuk pulang ke Kulim atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.
Ini bermakna, penyanyi itu secara tidak langsung berpeluang menyambut Aidilfitri bersama bapa serta adik-beradiknya yang terpisah akibat larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Penjelasan Masya Masyitah menimbulkan rasa kurang senang warganet yang mendakwa beliau mengambil kesempatan merentas negeri menggunakan surat kebenaran ibunya.