Percepat pemberian vaksin untuk perangi Covid-19, kata Salleh Said

Percepat pemberian vaksin untuk perangi Covid-19, kata Salleh Said

Memerangi Covid-19 bukan hanya dengan mematuhi SOP.

Bekas menteri Salleh Said Keruak berkata, kerajaan perlu menyediakan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri persekutuan menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pengambilan vaksin kepada rakyat dalam memerangi wabak Covid-19.

Salleh Said Keruak berkata, memerangi Covid-19 bukan hanya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Perkara ini penting untuk kita fahami, pada saat kita sibuk berbahas tanpa henti mengenai SOP. Perkara yang membimbangkan ialah apabila pendaftaran dan vaksinasi rakyat Sabah amat rendah, iaitu 16.6% yang berdaftar dan 3.2% sudah divaksin.

“Kadar vaksinasi negara juga umumnya rendah, iaitu sekitar 3.6% jika dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara,” katanya di blog beliau.

Salleh berkata, seperti di Sabah, kes Covid-19 masih terkawal dan kerajaan perlu memperhebatkan usaha vaksinasi.

Katanya, ramai rakyat masih belum sedar dan berdaftar untuk divaksin.

“Kalau di Sabah, rakyat luar bandar lebih faham kepentingan SOP daripada vaksinasi.

“Selain itu, masih ada keraguan berterusan dalam kalangan rakyat mengenai vaksin pilihan dan kesan sampingan vaksin.

“Ada yang layak mendaftar, tetapi enggan mendaftar. Ada yang sudah awal mendaftar vaksin, tapi masih menunggu temu janji,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh memberi cadangan dalam mempercepatkan proses vaksinasi, seperti memperhebatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu proses pendaftaran rakyat di luar bandar Sabah dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau juga berkata, kerajaan perlu menyediakan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sabah.

“Ketiga, perbanyakkan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut kesesuaian lokaliti, terutamanya di luar bandar.

“Saya menyeru kita semua berganding bahu dan berikan kerjasama kepada PICK, khususnya program vaksinasi untuk Sabah.

Yeo Bee Yin

“Kita bersetuju untuk patuhi SOP, tetapi usaha mempercepatkan program vaksin rakyat perlu diperkasakan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan takat pencapaian kapasiti 150,000 pengujian Covid-19 sehari yang disasarkan oleh kerajaan pada Januari lalu.

Katanya, empat bulan telah berlalu, tetapi angka pengujian Covid-19 masih sekitar 70,000 sehari.

“Di manakah angka 150,000 (ujian) yang dijanjikan. Virus Covid-19 tidak menunggu sesiapa. Empat bulan adalah masa yang lama dalam memerangi Covid-19.

“Memang, menangani krisis Covid-19 bukanlah perkara yang mudah, tetapi jika selepas setahun kerajaan masih tidak boleh melakukannya, apakah harapan yang ada pada rakyat,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan berapa banyak lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang perlu dilaksanakan untuk mengakhiri krisis Covid-19.

Katanya, adalah ”tidak waras” jika kerajaan merancang melakukan perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.