
Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata, bawah perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun, iaitu genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
“Oleh itu, pembubaran DUN akan ditetapkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Sultan Abdullah selepas berunding dengan Abdul Taib. Kami mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan.
“Ketua Menteri (Abang Johari Tun Openg) juga akan menghadap Sultan Abdullah,” kata Nanta kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi GPS di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang situasi semasa wabak Covid-19, kehidupan rakyat adalah keutamaan GPS.