
Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali berkata, kejadian tersebut disiasat polis selepas gambar tersebut tular di Facebook.
Fadzil berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari, pada Khamis, iaitu hari pertama sambutan Aidilfitri di SJR Persiaran Selatan (hala keluar ke Dengkil) Putrajaya.
“Anggota itu bertugas di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya dan tinggal di daerah Putrajaya bersama keluarga dan anaknya berumur 11 tahun, 10 tahun dan lima tahun,” kata beliau dalam kenyataan.
Fadzil berkata, kehadiran isteri dan anak-anak adalah bagi memberi sokongan moral kepada anggota polis tersebut kerana bertugas di pagi raya, selain menyerahkan juadah raya.
“Setelah selesai bersalaman, keluarga anggota tersebut telah beredar pulang ke rumah. Siasatan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Khamis lalu, tular di Facebook sekeping gambar yang menunjukkan seorang anggota polis yang sedang bertugas di SJR menerima kunjungan keluarga, dan bersalaman dan menerima kuih raya.
Ini menimbulkan kemarahan warga net kerana didakwa melanggar SOP PKP.