
Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R Kalaivanan berkata, penduduk kawasan terbabit membuat aduan kelmarin setelah sering mendengar bunyi haiwan itu menyalak.
“Jiran yang tinggal berhampiran mengadu sering mendengar bunyi anjing menyalak sehingga mengganggu mereka dan ia membuatkan mereka tertanya-tanya,” Kalaivanan dipetik Harian Metro sebagai berkata.
“Aduan itu dipanjangkan kepada jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) bangunan yang kemudian menghubungi pemilik unit rumah berkenaan.”
Kata Kalaivanan, beliau dimaklumkan pemilik unit tersebut bahawa penyewanya sudah lama meninggalkan rumah.
Pemilik unit berkenaan belum memeriksa keadaan rumah, dan tidak sedar kehadiran anjing tersebut, kata beliau dalam kenyataan di Facebook SAFM hari ini.
Menurut Kalaivanan, usaha menyelamatkan anjing itu dilakukan kira-kira 2 petang, pada hari sama aduan diterima.
Beliau yang datang bersama empat ahli SAFM terkejut melihat keadaan anjing berkenaan yang tidak terurus ketika ditemui, kata beliau.
“Kami dapat masuk ke dalam rumah itu dengan bantuan cucu pemilik rumah yang mewakili neneknya.
“Selepas masuk ke dalam rumah, kami dapati anjing itu dalam keadaan kelaparan dan bersendirian. Najisnya bersepah di dalam rumah tanpa makanan dan minuman langsung ditinggalkan.
Anjing tersebut yang ketakutan kemudian berjaya diselamatkan menggunakan sangkar, dan kini berada di sebuah rumah perlindungan haiwan.
Kata Kalaivanan, menjadi satu kesalahan jenayah bagi individu meninggalkan mana-mana haiwan peliharaan dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan itu mengalami trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit.
“Kesalahan itu termaktub di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29, dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih daripada RM100,000, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tiga tahun atau kedua-keduanya sekali,” kata beliau.