Tak munasabah tutup pintu, suruh rakyat balik, kata EXCO Terengganu langgar SOP

Tak munasabah tutup pintu, suruh rakyat balik, kata EXCO Terengganu langgar SOP

Azman Ibrahim mengakui seorang jiran berkunjung ke rumahnya semalam, tetapi beliau menafikan mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya.

Azman Ibrahim (tengah) menerima surat tawaran kompaun selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang EXCO Terengganu didenda RM2,000 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan menerima tetamu pada 1 Syawal.

Ketua Polis Daerah Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata, kompaun RM2,000 adalah jumlah maksimum untuk mana-mana individu yang melanggar SOP.

“Bagi mana-mana perbadanan atau pertubuhan yang melanggar SOP Aidilfitri, kadar maksimum kompaun ialah RM10,000,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bernama melaporkan lelaki berumur 55 tahun yang berkunjung ke rumah EXCO itu turut didenda RM2,000.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Azman Ibrahim berkata, beliau memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan menerima surat tawaran kompaun.

“YB (Yang Berhormat) juga dihukum sebagaimana rakyat biasa, dengan kadar tawaran kompaun sama. Insya Allah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tulisnya di Facebook.

Dalam catatan berasingan di Facebook hari ini, ADUN Jabi itu mengakui menerima kunjungan seorang jiran di rumahnya semalam, tetapi beliau menafikan mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya yang dilarang di bawah SOP PKP.

“Tak ada buat rumah terbuka pun. Adalah seorang, dua rakyat yang datang ke rumah, sebagaimana hari-hari biasa rakyat mari rumah atas pelbagai urusan.

“Di sinilah dilema seorang kuli rakyat macam ambe (saya). Tak munasabah kita nak tutup pintu dan kunci kemas, kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan, sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP, selalu saja rakyat mari rumah.

“Juga tak munasabah rakyat berdekatan mari ke rumah, kita tak angkat walaupun segelas air. Musim raya ini adalah juga ketupat sebiji dua, walaupun bukan juadah penuh meja,” tulisnya di Facebook semalam.

PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara mulai kelmarin hingga 7 Jun ini, dengan sekolah ditutup dan aktiviti sosial, termasuk ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur ketika Aidilfitri tidak dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.