Mesej tular dakwa Hospital Raja Permaisuri Bainun penuh palsu, kata pengarah

Mesej tular dakwa Hospital Raja Permaisuri Bainun penuh palsu, kata pengarah

Mesej tular menyebut HRPB kini berdepan masalah wad untuk menempatkan pesakit Covid-19, selain wad bagi pesakit jantung juga penuh.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata, keadaan semasa di hospital itu masih terkawal, malah perkhidmatannya juga berjalan lancar seperti biasa.
IPOH:
Mesej tular mendakwa situasi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berada pada tahap membimbangkan berikutan peningkatan kes Covid-19, adalah tidak benar.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata, mesej tersebut adalah palsu, sebaliknya keadaan semasa di hospital itu masih terkawal, malah perkhidmatannya juga berjalan lancar seperti biasa.

“Masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita atau maklumat yang tidak sahih, agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas mesej tular yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp yang menyebut HRPB kini mengalami masalah wad untuk menempatkan pesakit positif Covid-19 tahap tiga hingga lima, selain wad bagi pesakit jantung juga penuh.

Abdul Malek turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengurangkan pergerakan ke tempat awam semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 7 Jun depan.

Selain itu katanya, pemakaian penutup muka dan cecair nyah kuman hendaklah sentiasa diamalkan setiap kali hendak berurusan di tempat awam bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.