Hanya kapal India disyaki berisiko akan diperintah kuarantin di laut

Hanya kapal India disyaki berisiko akan diperintah kuarantin di laut

Deklarasi kesihatan maritim kapal akan diperiksa oleh KKM.

Jabatan Laut Malaysia berkata, hanya kapal yang disyaki berisiko membawa gejala Covid-19 akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut.
KUALA LUMPUR:
Semua kapal dari India yang tiba atau masuk ke kawasan pelabuhan negara tidak diwajibkan menjalani proses kuarantin 14 hari di laut.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam berkata, deklarasi kesihatan maritim kapal tersebut akan diperiksa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan diberikan “free-pratique” sebelum dibenarkan masuk merapat ke dermaga bagi menjalankan operasi.

“Hanya sekiranya kapal disyaki amat berisiko membawa gejala Covid-19, maka ia akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut,” kata JLM.

Menurut kenyataan itu, pekerja pelabuhan dan individu darat dibenarkan menaiki kapal tersebut bagi aktiviti kargo dan diwajibkan memakai pelitup muka serta sarung tangan.

JLM menjelaskan sekiranya mereka memerlukan interaksi dengan anak kapal di atas kapal atau memasuki ruangan kabin, semua individu tersebut perlu penambahan pemakaian pelindung muka dan apron pakaian perlindungan diri (PPE).

Bagaimanapun pemakaian PPE penuh oleh kedua-dua pihak berdasarkan penilaian risiko yang akan ditentukan oleh Lembaga Pelabuhan dengan mengambil kira nasihat JLM dan KKM, katanya.

JLM juga menyelaras keseragaman menjurus kepada aktiviti operasi perkapalan di kawasan pelabuhan susulan kekeliruan terhadap SOP Covid-19 industri maritim.

Segala tatacara dan SOP sentiasa dikemas kini bagi memastikan operasi dan perjalanan sistem pengangkutan maritim berkaitan pelaut mahupun industri perkapalan jelas.

Kenyataan tersebut bagi memberi penjelasan mengenai berita portal tempatan yang melaporkan pemain industri kapal keliru mengenai SOP yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.