
Di awal bicara saya dengan Amin, ternyata jejaka berusia 36 tahun dari Sabah ini sedang mengharungi dugaan cukup hebat. Disahkan menghidap kanser tujuh bulan lalu, beliau baru sahaja melalui pembedahan besar membuang sel kanser yang menghimpit organ paru-parunya pada 2 Ramadan lalu.
Kini, keluarga Amin ditimpa lagi dugaan dahsyat apabila beliau dan isteri, ibu kandung, ibu mentua dan anaknya, Adam dijangkiti Covid-19.
Detik Amin sekeluarga bertarung dengan wabak itu bermula apabila ibunya dari Kota Kinabalu tiba di Kuala Lumpur untuk bersama beliau mengharungi pembedahan kanser itu – pertaruhan hidup atau mati.

Namun, dua minggu kemudian, ibu Amin sendiri terpaksa bergelut dengan nyawanya selepas jatuh sakit tiba-tiba dan disahkan positif Covid-19 oleh pihak hospital.
Saat itu, Amin sekeluarga rasa tidak percaya ibu tersayang yang berusia 68 tahun dan menghidap sakit jantung boleh rebah angkara Covid-19. Tanpa berlengah, beliau sekeluarga membuat saringan Covid-19 dan malang sekali, isteri Amin, yang menjadi sandaran utama keluarga dalam ketidakupayaan beliau bekerja, turut disahkan positif. Ibu mentuanya juga begitu.
Ibu mentua dan isteri Amin kemudian dibawa ambulan untuk diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang selama 10 hari.

Amin yang masih memerlukan rawatan susulan untuk luka pembedahan kanser sepanjang 15cm di dada, duduk di rumah bersama tiga anaknya dengan 1001 persoalan mengenai masa depan sekeluarga.
Mereka lega seketika apabila ujian saringan Amin dan Adam, dan dua anaknya lagi – Adelia, 4 tahun, serta Aariz yang baru menjangkau tiga bulan – didapati negatif pada 29 April. Namun, panas tidak sampai ke petang.
Dalam saringan kedua tiga hari kemudian, Amin dan Adam disahkan positif Covid-19, bermaksud lima daripada tujuh ahli keluarga Amin diserang Covid-19 sekali gus.
Detik 12 tengah malam Sabtu lalu, Amin dan anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Adam menghidap ‘mild autisme’ dan untuk seorang ayah yang belum pulih daripada pembedahan kanser, menjaga anak istimewa dalam keadaan kesihatan sendiri tertekan, benar-benar menguji keyakinan diri terhadap Sang Pencipta.

“Adam, kita kena lawan bersama!” pujuk Amin kepada anak sulungnya yang masih mamai dikejutkan dari tidur lena, untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
Dengan isteri dan ibu dan ibu mentuanya di kuarantin di MAEPS, Amin tiada pilihan tetapi menyerahkan Aariz, untuk dijaga oleh rakan baik keluarga. Adelia pula diletakkan dalam jagaan kakak iparnya yang merentas negeri dari Raub untuk membantu meringankan beban keluarga Amin.
Di wad Covid-19 Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh, Adam, anak istimewa tersayang, begitu tenang bersama Amin dalam persekitaran baharunya. Beliau seolah-olah faham apa yang sedang dilalui keluarganya; langsung tidak memberontak atau beremosi ketika dikerumuni doktor dan jururawat berpakaian PPE.
Adam melalui kehidupannya di wad Covid-19 dengan keunikan tersendiri. Membaca buku, menghafal sifir, dan melakukan aktiviti riadah di sekitar wad. Malah, Adamlah yang menguatkan kembali semangat ayah dan ibunya yang terhakis dek dugaan tanpa henti.

Melihat wajah Adam yang polos melalui kehidupan sementara dengan penuh keceriaan di hospital yang tentunya tidak selesa seperti di rumah, Amin bangkit bukan saja sebagai pejuang kanser tetapi melawan virus durjana Covid-19.
Malah, kehadiran Adam turut menceriakan penghuni lain di wad yang juga bertarung dengan jangkitan itu.
Langit tidak selalu cerah, awan pula tak selalu mendung. Berkat doa sanak saudara serta rawatan yang diterima, doktor mengisytiharkan isteri dan ibu Amin pulih sepenuhnya daripada Covid-19 pada 11 Mei.

Namun pada Syawal pertama, Amin dan Adam masih menjalani rawatan namun dugaan itu menguatkan semangat dan mengeratkan kasih sayang sekeluarga.
Menyambut Aidilfitri bersama mereka yang senasib di Hospital Sungai Buloh mengubah persepsi Amin dalam menerima erti dugaan yang menimpa beliau sekeluarga.
“Jika kita merasakan kita sedang diuji dengan hebat, ada lagi insan yang ujiannya berganda-ganda dan dari situlah kita kumpul kekuatan yang hilang sebelum ini,” katanya.
Beliau yakin, di sebalik dugaan maha hebat ini, ada “benda besar” yang mahu dikurniakan Allah buat mereka sekeluarga.
Dalam sujudnya, lelaki ini hanya mahu melihat sinar kebahagian menerangi semula keluarga tersayang dan yakin hari itu tidak jauh. Untuk dirinya, Amin – pesakit kanser dan Covid-19 – tidak ada apa yang dikhuatiri kerana semangat juangnya kuat membara.

Doa beliau pada isterinya yang begitu cekal, dizahirkan dalam ayat ringkas namun penuh bermakna: “pegang tanganku erat-erat, kita akan terus lawan demi anak-anak comel kita”.
Pinta Amin, jangan ditanya dari mana datangnya virus durjana itu, cukuplah bersama pelihara diri daripada musuh tidak kelihatan ini.
“Covid-19 itu benar dan jangan ragu dengan kebenarannya. Hanya yang pernah merasai tahu peritnya apabila ‘dia’ hadir tanpa dipinta,” kata beliau.
Amin menitipkan ucapan terima kasih kepada kakitangan Kementerian Kesihatan yang membantu beliau sekeluarga dan pesakit Covid-19 melalui tempoh sukar yang tak mungkin pudar dari ingatan.
Beliau dan ‘permatanya’ – Adam – turut merakamkan salam lebaran dan mohon seribu kemaafan daripada penghuni wad Covid-19 Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh.
Penulis adalah isteri kepada Amin dan ibu kepada Adam.