Polis kemas kini sistem permohonan rentas negeri elak pemalsuan dokumen, kata KPN

Polis kemas kini sistem permohonan rentas negeri elak pemalsuan dokumen, kata KPN

Polis mengesan beberapa taktik pemalsuan dokumen rentas negeri sejak pelaksanaan PKP bulan ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menyertai lawatan dan sumbangan raya Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol USJ Subang tengah malam tadi. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Polis akan mengemas kini sistem permohonan rentas negeri bagi menggelakkan pemalsuan dokumen pada masa akan datang.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini kerana pihaknya mengesan beberapa taktik pemalsuan dokumen rentas negeri sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan ini.

Beliau berkata, polis akan menambah baik sistem berkenaan kerana orang awam akan cuba mencari jalan untuk mengatasi sistem rentas negeri yang sedia ada kini.

“Polis akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada ini (pemohonan rentas negeri) bagi mengelakkan ia berterusan berlaku.

“Adalah lumrah untuk orang awam melakukan perkara sedemikian (memalsukan dokumen), tetapi polis akan berusaha untuk mengatasi kelemahan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan dan sumbangan raya Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol USJ Subang di sini, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai taktik orang awam memalsukan dokumen rentas negeri dalam tempoh PKP.

Mengenai jumlah permohonan rentas negeri yang ditolak di seluruh negara setakat 12 Mei, Acryl Sani berkata, polis menolak 2,730 permohonan yang dikemukakan atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Sementara itu, Ismail Sabri yang turut serta dalam lawatan berkenaan, meminta orang awam agar terus mematuhi PKP dan tidak merentas negeri atau daerah.

“Saya melawat SJR di Plaza Tol Eco Majesctic dan Plaza Tol USJ Subang dan mendapati tidak banyak kereta pada malam Aidilfitri (malam tadi) seperti yang disangka.

“Jadi saya percaya semua orang berada di rumah dan tidak bersesak di jalan raya. Saya berharap keadaan ini menggambarkan bahawa rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan, iaitu tidak melakukan perjalanan merentas daerah dan negeri,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Jen Affendi Buang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.