
Itu antara pesanan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada warga kerja KKM ketika mengadakan tinjauan di Hospital Putrajaya pada hari pertama Aidilfitri, di sini.
Ia merupakan rutin lazim Noor Hisham pada setiap Hari Raya Aidilfitri dengan menyantuni warga KKM sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan kesihatan.
“Petugas kesihatan ‘berperang’ untuk tempoh yang amat panjang, iaitu hampir 16 bulan. Kebanyakan kita pun lesu dan juga (letih) dari segi mental dan fizikal, tapi kalau kita tidak membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, maka ramai anggota komuniti akan dijangkiti virus itu,” katanya kepada media selepas sesi tinjauan terbabit.
KKM juga kata beliau, bersiap siaga dengan penyediaan peralatan dan fasiliti kesihatan bagi menghadapi pandemik Covid-19 ditambah lagi jenis varian baharu virus yang dikenal pasti dalam negara.
Noor Hisham mengulangi peringatan supaya rakyat sentiasa duduk rumah sekiranya tiada urusan penting dan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).
Beliau yang lengkap berbaju Melayu berwarna kelabu meluangkan masa kira-kira setengah jam di hospital berkenaan.
Sementara itu, seorang penolong pegawai perubatan di hospital berkenaan Mohamad Zahir Omar, 27, berkata, biarpun sedih tidak dapat beraya di kampung, namun beliau bersyukur diberi kesempatan berbakti kepada negara dan rakyat pada hari bermakna ini.
“Ini musim pandemik dan menjadi tanggungjawab saya menjalankan tugas terbaik dalam memastikan kesihatan rakyat terbela,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Penyelia jururawat Kamsiyah Krosnin yang berkhidmat dengan KKM selama 24 tahun berkata, beliau pernah bekerja pada Hari Raya Aidilfitri tujuh kali berturut-turut, namun akur ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.
“Raya atau bukan raya, kita terikat dengan kerja dan perlu berkhidmat mengikut jadual yang ditetapkan. Emosi perlu diketepikan demi tugasan. Nyawa dan kesihatan individu lagi penting, lagi-lagi waktu pandemik ini,” katanya.