Kerjasama politik – kelebihan buat Warisan, tetapi tidak untuk PBS, kata penganalisis

Kerjasama politik – kelebihan buat Warisan, tetapi tidak untuk PBS, kata penganalisis

Cadangan kerjasama dengan PBS adalah langkah strategik Warisan untuk memperkuatkan kedudukannya sebagai parti tempatan.

Penganalisis berkata, jika kerjasama antara PBS dan Warisan berlaku dalam tempoh terdekat, maka politik Sabah pasti akan bergolak semula. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat, Warisan bakal mendapat manfaat, tetapi tidak bagi Parti Bersatu Sabah (PBS) sekiranya dua parti itu menjalin kerjasama politik.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, cadangan Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk bekerjasama dengan PBS adalah langkah strategik bagi memperkasakan kedudukannya sebagai parti tempatan serta meraih sokongan masyarakat KDM.

Tony Paridi Bagang

Bagaimapun katanya, kerjasama itu amat berisiko kepada PBS yang mungkin menerima nasib sama seperti UPKO yang sebelum ini menyertai Warisan Plus.

”Sebelum ini UPKO yang bersama Warisan Plus dilihat sebagai parti yang mampu meraih sokongan komuniti KDM, tetapi akhirnya mereka ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

”Ia disebabkan oleh sentimen etno-nasionalisme yang kuat dalam kalangan KDM dan jika kerjasama (Warisan dan PBS) ini berlaku, ia memberi kelebihan kepada Warisan, namun mungkin merupakan ‘political suicide’ kepada PBS,” katanya kepada FMT.

Sementara itu Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, hasrat Shafie untuk bekerjasama dengan PBS adalah kerana beliau ingin menguatkan kedudukan Warisan di pDewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, Shafie melihat potensi kerjasama dengan PBS mempunyai pengaruh besar ke atas etnik KDM seterusnya boleh dimanfaatkan untuk menguatkan kedudukan politik parti itu di negeri berkenaan.

”Pada masa sama, Shafie juga cuba menguatkan Warisan, khususnya kedudukannya dalam kalangan Bumiputera Islam serta bukan Islam di negeri itu.

Awang Azman Pawi.

”Ia juga sesuai dengan penekanan kepada parti negeri dan bersuara mengenai hak Sabah.

”Namun ia agak ironis kerana pada masa sama Shafie berhasrat mengembangkan sayap ke semenanjung dan bekerjasama dgn parti yang berpusat di Kuala Lumpur,” katanya.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata, sekiranya kerjasama antara Warisan dan PBS berlaku, perkara itu pastinya menjadi pertimbangan pengundi pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun katanya, ia masih terlalu awal hanya bersifat aspirasi dan harapan Shafie.

Romzi Ationg

”Segalanya boleh berlaku dalam politik. Jika PBS mengambil keputusan sedemikian (bekerjasama dengan Warisan) maka akan wujudlah kerjasama itu.

”Idea kerjasama ini hanya bersifat harapan Shafie dan tidak semestinya boleh berlaku, namun jika ia benar berlaku, sudah pasti pengundi akan menjadikannya sebagai asas pertimbangan pengundian atau sokongan.

”Tetapi jika kerjasama itu berlaku dalam tempoh terdekat, politik Sabah pasti akan bergolak lagi,” katanya.

Shafie dalam sidang medianya sebelum ini berkata, PBS adalah parti yang akan dipilih beliau sekiranya Warisan diberi pilihan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

Beliau berkata, PBS adalah parti tempatan yang mempunyai sejarahnya di Sabah dan beliau secara peribadi mengenali pemimpin parti itu, terutama presidennya, Maximus Ongkili.

“Secara jujurnya saya mahu bekerjasama dengan PBS, (PBS adalah) sebuah parti tempatan, kami kenal sentimen dan perjuangan mereka… tetapi tidaklah seperti kami terdesak atau apa-apa, tetapi kami terbuka kepadanya (kerjasama dengan PBS).

“Tentu sekali kami perlu bersama dengan parti nasional di semenanjung juga, tetapi mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan kami perlu mempunyai kepentingan Sabah.

“Iaa kerjasama dua hala. Bukan sahaja apa yang kami boleh berikan, tetapi juga apa yang anda boleh berikan kepada Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.