Pengarah Eksekutif ABM Kalpana Sambasivamurthy berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan bahawa moratorium pinjaman menyeluruh automatik bukanlah “penyelesaian optimum” kerana kebanyakan sektor ekonomi telah dibenar beroperasi semasa perintah sekatan.
Tetapi katanya, ahli ABM akan menawarkan bantuan pembayaran balik, dan menggesa peminjam yang memerlukan bantuan tersebut untuk menghubungi pihak bank secepat mungkin.
“Bank memahami ada peminjam yang terus terjejas dan mungkin memerlukan bantuan pembayaran lanjutan,” katanya kepada FMT.
“Ahli bank ABM telah memudahkan proses dokumentasi yang diperlukan dan komited untuk menjadikan proses permohonan bantuan pembayaran lebih mudah kepada peminjam.
“Dalam kebanyakan kes, peminjam boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon.”
Kalpana berkata peminjam juga boleh membuat permohonan di cawangan bank tetapi menasihati mereka untuk terlebih dahulu mengesahkan dengan bank sama ada terdapat perubahan pada waktu operasi atau perkhidmatan mereka.
BNM mengumumkan moratorium pinjaman selama enam bulan pada PKP pertama tahun lalu, yang membawa kepada gesaan bantuan sama semasa PKP kedua pada Januari dan ketiga, yang akan berlangsung mulai hari ini hingga 7 Jun.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di seluruh negara. Meskipun rentas daerah, perhimpunan sosial dan acara rasmi dilarang, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi.
Bercakap kepada pemberita berikutan pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 semalam, gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus menggesa peminjam untuk menghubungi bank dan menggunakan tawaran bantuan pembayaran yang ada, termasuk moratorium pinjaman bersasar, ketika ditanya sama ada bank pusat itu akan mempertimbangkan moratorium pinjaman menyeluruh automatik.
Antara mereka yang lantang menuntut pemberian moratorium adalah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang mendakwa Pemuda Umno menerima banyak permintaan daripada orang ramai agar bank dan institusi kewangan lain memberikan moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Ramai yang mengadu susah dan makin tertekan dengan hambatan ekonomi kian meruncing lantaran pengurangan pendapatan mendadak akibat PKP yang mengehadkan pergerakan dan membantutkan usaha memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
“Hakikatnya adalah tiada satu bank atau institusi kewangan yang mengalami kerugian besar atau hampir muflis akibat moratorium semasa PKP pertama.”