Pemimpin serantau lancar alternatif baharu Asean

Pemimpin serantau lancar alternatif baharu Asean

Asean dianggap sudah lapuk, gagal mempertahankan demokrasi serta hak asasi di rantau ini.

Asean disifatkan gagal berkembang sejak ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Pemimpin negara-negara Asia Tenggara termasuk beberapa bekas pemimpinnya menganjurkan penubuhan alternatif kepada Asean, yang menurut mereka sudah ketinggalan zaman dan gagal mempertahankan demokrasi serta hak asasi di rantau ini.

Dalam pelancaran South East Asia Community (SEAC) pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini, mereka menegaskan bahawa Asean gagal berkembang sejak ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu.

Antara pemimpin yang terlibat adalah pemimpin pembangkang Kemboja, Sam Rainsy; bekas Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya; Salai Maung Taing San atau dikenali sebagai Dr Sasa dari Myanmar yang juga duta khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu; dan senator Filipina, Francis “Kiko” Pangilinan.

SEAC berkata, Asean tidak aktif dalam menangani krisis berterusan di Myanmar, dan dasar tidak campur tangan blok itu dalam urusan anggotanya perlu diubah.

Rainsy berkata, penubuhan Asean pada 1967 mencapai matlamatnya, tetapi dunia sudah banyak berubah dalam tempoh 50 tahun ini.

“Asean gagal mengikuti perkembangan dan sudah lapuk, menjadi ‘musuh’ kemajuan, bukannya pemacu,” kata beliau.

Mana-mana kumpulan yang dianggotai negara serantau berdasarkan kepentingan bersama perlu maju seiring dengan kepentingan anggotanya, kata Rainsy.

Namun, kepentingan bersama ini gagal diberi definisi yang jelas dari mula, tambahnya.

“Adakah ia sekadar kepentingan yang dikongsi bersama kerajaan, negara atau diktator yang sedia menyokong antara satu sama lain dalam usaha mengekalkan kuasa?”

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Asean kelihatan seperti kelab bagi diktator yang mempunyai kepentingan bertentangan dengan mereka yang ditindas,” tambahnya.

Mengenai keperluan penubuhan SEAC, Rainsy berkata, kumpulan baharu tersebut akan memastikan rakyat di rantau ini dapat menikmati pilihan raya yang bebas dan adil.

Penubuhan SEAC diumumkan hari ini di kala keganasan sedang berlaku di Myanmar, akibat pertembungan antara kumpulan pro-demokrasi dan tentera junta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.