
Pada sidang media secara maya hari ini, wakil DAP itu berkata, ini penting kerana peniaga kecil kini berdepan masalah aliran tunai dan ketidaktentuan.
Katanya, moratorium seperti yang dilaksanakan ketika PKP fasa pertama sebelum ini dapat membantu melindungi pekerjaan kerana dana yang disimpan akan membolehkan perniagaan terus beroperasi dan dapat mengelak pemberhentian pekerja.
Beliau juga berkata, bank di Malaysia meraih keuntungan besar sepanjang tahun lalu meskipun berdepan pandemik Covid-19.
“Sungguh ironi jika perniagaan kecil ditutup tetapi bank membuat lebih banyak wang,” katanya sambil menambah kerajaan perlu lebih sensitif dalam membantu peniaga kecil.
Beliau turut meminta kerajaan memberikan pelepasan sewa selama enam bulan antara RM2,000 hingga RM3,000 selain meneruskan program subsidi upah.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menyediakan bantuan sekali gus sebanyak RM5,000 bagi membantu peniaga kecil.
“Diskaun tambahan 15% juga perlu diberikan bagi bayaran bila air dan elektrik,” katanya.
Katanya lagi, peniaga kecil memerlukan lebih banyak sokongan bagi mengelak perniagaan mereka ‘gulung tikar’ untuk bulan-bulan seterusnya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Abdul Mukthahir Ibrahim, juga pada sidang media secara maya menyatakan kebimbangan ada ahli akan terjebak membuat pinjaman daripada ah long dan lintah darat jika kerajaan tidak menawarkan bantuan.
“Kami telah menasihatkan anggota kami untuk tidak terjebak dalam perangkap ini tetapi jika mereka tiada pilihan lain, ia pasti mengundang malapetaka,” katanya.