
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu, balu S Thanabalan, V Santhi, dan bapa mentuanya, P Vathian menamakan 12 anggota polis, termasuk Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun, sebagai defendan.
Mereka yang lain adalah Nadzir Afiq Abduk Malik, Ho Teck Hin, Clement Antas anak Entre, Mohd Nizam Hamzah, Mazhar Mohamad, K Sugendran, Roslan Ahmad, Mohammad Hashim Kasman , Efandi Main, Baharudin Mat Taib dan Mazlan Mansor.
Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan ke-13 kerana akan dipertanggungjawabkan secara vikarius jika anggota polis terbabit didapati bertanggungjawab kerana kecuaian atau kegagalan bertindak.
Santhi, 41, memfailkan tindakan undang-undang tersebut bagi pihak estet Thanabalan, dirinya sendiri, dan dua anak mereka, manakala Vathian, 72, adalah pentadbir bersama estet Thanabalan.
Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, dan ganti rugi teruk, selain tuntutan kehilangan tanggungan, kesedihan, perbelanjaan pengebumian, serta tuntutan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut ganti rugi akibat salah laku tort misfeasans penjawat awam.
Dalam kenyataan tuntutan yang dilihat FMT, Santhi and Vathian berkata, Thanabalan diletakkan bawah jagaan dan kawalan Nadzir, Ho, Clement serta Nizam yang sedang bertugas.
Mereka dikatakan sepatutnya mengawasi dan memastikan melalui CCTV bahawa Thanabalan selamat dan sihat.
Anggota polis lain juga didakwa gagal mengawasi orang bawahan mereka untuk memastikan mereka menjalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan.
Thanabalan ditahan di hadapan SJK (C) Soo Jin pada 29 Mac 2018 kerana disyaki terlibat dengan pertubuhan haram.
Dia dihadapkan di hadapan majistret pada 30 Mac dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) hingga 26 April.
Namun, dia disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada 17 April selepas dikejarkan ke sana dari ibu pejabat polis Shah Alam.
Kematiannya mencetuskan persoalan oleh kumpulan pertubuhan sivil berhubung komitmen polis terhadap mencegah kematian dalam tahanan.
Disember lalu, Koroner Rofiah Mohamad berkata, Thanabalan mungkin meninggal dunia akibat keadaan “myocardial bridging” di jantungnya yang secara sendirinya selalunya tidak akan menyebabkan kematian.
Beliau berkata, Thanabalan berkemungkinan meninggal dunia di balai polis atau ketika dalam perjalanan ke hospital kerana sudah tidak bernyawa apabila tiba di situ.
Thanabalan didapati menghidap leptospirosis akibat terdedah kepada air kencing tikus, dan keadaannya bertambah buruk akibat keadaan jantungnya.