
Keadaan di Mydin USJ1 di sini, tidak sesak di dalam kawasan premis, tetapi kenderaan dilihat bergerak perlahan di kawasan parkir ketika pelanggan tiba untuk membuat pembelian saat akhir, manakala yang lain berkejar pulang.
Ridzwan Muhamad, 29, berkata, beliau singgah untuk membeli kuih Raya sebelum berbuka puasa dengan makanan yang sudah disediakan awal di rumah.
Anak jati Kedah itu mengakui sedih kerana sudah dua tahun tidak bertemu adik-beradik dan ibunya.

“Pada Mac, khabarnya mereka yang sudah menerima dos kedua vaksin boleh membuat perjalanan. Saya memang berharap untuk mendapatkannya, tetapi prosesnya tidak selancar yang dijangkakan dan agak mengecewakan,” katanya kepada FMT.
Asnah Birih, 44, yang ditemui ketika membeli makanan, turut menzahirkan kekecewaannya sekali lagi tidak dapat menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
“Raya nanti pasti sunyi. Saya tetap akan memasak hidangan istimewa, tetapi selain itu, kami sekeluarga tiada perancangan lain,” katanya.
Di Ampang Point, beberapa jam sebelum Ramadan berakhir, kebanyakan kedaimalah juga pasar atriumnya lengang.

“Tengah hari tadi masih ramai orang. Sekarang, saya rasa kebanyakannya sudah pulang ke rumah untuk berbuka puasa,” kata Wong, yang menjual jam tangan.
Beliau tidak terkejut dengan kehadiran pembeli di saat akhir, katanya.
“Hari ini hari terakhir pasar ini, selepas ini, kami akan kembali ke kedai kami seperti biasa,” katanya.
Situasinya berlainan di pasar raya Giant, apabila pembeli beratur sehingga ke pintu masuk premis.

Dengan barisan bergerak perlahan, dan senja menjelang, seorang pembeli didengar bergurau, “Kalau macam ini, kita kena buka puasa di Giant”, diiringi gelak ketawa pembeli lain.
Pasar-pasar di seluruh negara juga sesak pagi tadi, apabila orang ramai beratur untuk membeli daging dan keperluan lain untuk membuat hidangan menyambut Aidilfitri esok.