Babitkan semua kementerian dalam pemulihan ekonomi, kata Ong

Babitkan semua kementerian dalam pemulihan ekonomi, kata Ong

Paling utama bagi pembuat dasar adalah memahami kesan PKP terhadap pelbagai sektor dan subsektor.

Ong Kian Ming berkata sektor dan individu paling terkesan pada suku pertama 2021 akan terus terhimpit pada suku kedua, kemungkinan dengan lebih serius.
PETALING JAYA:
Putrajaya memerlukan strategi dan pendekatan bersasar terhadap sektor dan individu yang paling terkesan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menggunakan dasar dan keupayaan semua kementerian, kata Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengarahkan setiap kementerian untuk menggariskan strategi dan perancangan masing-masing bagi membantu, menyusun semula, dan kemudian menghidupkan kembali setiap sektor dan subsektor.

Bank Negara (BNM) mengumumkan semalam bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 adalah -0.5% berbanding pertumbuhan positif 0.7% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ia tidak menghairankan selepas pelaksanaan PKP 2.0 pada 13 Jan 2021 dan kemudian PKP 3.0 di seluruh negara pada 10 Mei, sektor dan individu paling terkesan pada suku pertama 2021 akan terus terhimpit pada suku kedua, kemungkinan dengan lebih serius.

Katanya, paling utama bagi pembuat dasar adalah memahami kesan PKP terhadap pelbagai sektor dan subsektor.

“Memahami kesan PKP terhadap pelbagai sektor seharusnya mendorong kerajaan untuk menerapkan pendekatan yang berbeza, strategik, dan bersasar untuk membantu industri dan orang yang paling terkesan dalam industri ini.

“Persoalannya ketika ini, apakah strategi di kementerian lain untuk menguruskan sektor di bawah bidangnya, atau mungkin menggunakan strategi 6R yang digunakan oleh Kementerian Kewangan?” soalnya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan enam panduan mendepani cabaran Covid-19 iaitu menyelesaikan; ketahanan menerusi pakej rangsangan ekonomi Prihatin; memulakan semula ekonomi dengan sistematik; memulihkan menerusi rancangan jangka pendek dan sederhana; pemulihan ekonomi secara holistik; dan membentuk semula struktur asas ekonomi bagi mempromosikan pertumbuhan selepas PKP.

“Saya bersedia menawarkan perkhidmatan saya kepada mana-mana kementerian (secara percuma) untuk membincangkan kemungkinan strategi bagaimana membantu, menghidupkan, dan memulihkan sektor dan subsektor masing-masing,” kata Ong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.