
Beliau berkata, pelaksanaan darurat sekarang tidak bermaksud proses semak dan imbang tidak berlaku dalam meneliti perbelanjaan kerajaan meskipun Parlimen termasuk jawatankuasa pilihan tidak bermesyuarat sepanjang tempoh itu.
“Perkara ini (semak dan imbang) tidak boleh lari, cumanya buat masa sekarang Ordinan Darurat menggantung semua mesyuarat Parlimen tetapi ia boleh dibincang dalam mesyuarat akan datang (tamat darurat),” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Azhar berkata, segala perbelanjaan negara sepanjang tempoh darurat akan diteliti dan diaudit oleh Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas tempoh darurat berakhir Ogos ini.
“Ordinan ini (Ordinan Darurat) menjelaskan bahawa mesyuarat Parlimen termasuk pendengaran jawatankuasanya tidak bersidang kerana digantung bawah pelaksanaan darurat. Saya telah merujuk perkara ini kepada penasihat undang-undang Parlimen.
“Namun, ini tidak bermakna proses semak dan imbang tidak berlaku dalam tempoh Parlimen meskipun mesyuaratnya dan mesyuarat jawatankuasa digantung,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata jawatankuasa yang dipengerusinya telah “lumpuh” selepas tidak dapat menjalankan tanggungjawab semak dan imbang dalam meneliti perbelanjaan kerajaan ketika pelaksanaan darurat.
Katanya, perkara itu termasuk menyambung sesi pendengaran sebelum ini dan menentukan isu perolehan vaksin Covid-19 yang melibatkan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Katanya, PAC bukan sahaja tidak dapat memanggil saksi untuk memberi keterangan, malah tidak dapat menentukan perkembangan isu perolehan dan penggunaan vaksin Covid-19 yang melibatkan penggunaan dana KWAN.
Kali terakhir PAC menjalankan prosiding adalah pada 5 Jan lalu berhubung perolehan vaksin Covid-19, manakala prosiding lain terpaksa ditangguhkan.