Presiden MMA Subramaniam Muniandy berkata kerajaan sepatutnya lebih tegas dalam menguatkuasakan PKP, sambil menambah pendekatan terbaik adalah sekatan lebih ketat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum melonggarkannya secara berperingkat.
“Saya tak nampak apa tujuan sebenar PKP kali ini kerana semua sektor ekonomi di semua tempat masih dibenarkan. Saya tak nampak logiknya, ia memang bercanggah.
“Virus ini telah menular ke semua tempat dan keadaan akan bertambah buruk. Saya rasa masyarakat umum juga bimbang. Tetapi apa yang sedang dilakukan kerajaan sekarang mungkin tidak produktif bagi mereka dan juga rakyat,” katanya kepada FMT.
Menyedari Putrajaya perlu menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam, beliau berpendapat sekatan perlu dilakukan pada ketika ini.
“Masalahnya adalah, jika orang dijangkiti dan jatuh sakit, ke mana perginya wang dari ekonomi? Ia akan dibelanjakan untuk merawat pesakit-pesakit ini, mendapatkan peralatan untuk merawat mereka. Sudah tentu, kita tidak boleh menutup ekonomi selama berbulan-bulan.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye mengkritik kerajaan kerana mengumumkan sekatan PKP secara sporadik di beberapa negeri dan daerah sebelum memutuskan untuk melaksanakannya di seluruh negara.
Beliau memberitahu FMT, Putrajaya sepatutnya mempunyai semua maklumat dan data yang diperlukan untuk memutuskan PKP di seluruh negara dan boleh mengumumkannya minggu lalu. Bukan hanya PKP di enam daerah Selangor pada ketika itu.
“Beberapa hari lalu, mereka mengumumkan PKP di enam daerah di Selangor kecuali KL. Selepas itu mereka masukkan KL, kemudian beberapa daerah di Johor, beberapa di Pulau Pinang. Maksud saya, ini mengarut.
“Sekiranya anda lihat lengkuk plot jangkitan harian, anda pasti tahu PKP perlu dijalankan di seluruh negara. Anda tidak boleh buat keputusan berdasarkan kes hari ke hari. Dalam keadaan sekarang, jumlahnya akan terus meningkat kerana kesan PKP hanya dapat dilihat dalam satu atau dua minggu kemudian.
“Anda perlu bersedia lebih awal. Anda perlu selangkah ke depan dari lengkuk tersebut, bukan mengejar lengkuk,” katanya.
Berbeza dengan Subramaniam, Lee berkata penutupan ekonomi sepenuhnya adalah tidak perlu. Katanya kerajaan kini perlu menyedari sektor-sektor tertentu yang berisiko tinggi dan berisiko rendah.
SOP yang ketat mesti ada untuk sektor yang lebih rentan terhadap wabak Covid-19, katanya, sambil menambah negara kini perlu belajar bagaimana untuk hidup dengan virus tersebut.
“Langkah-langkah kesihatan awam bukan untuk membasmi virus. Kita tidak dapat membasmi virus itu dari komuniti sekarang. Tujuannya adalah untuk memastikan wabak itu tidak berada di luar kawalan hingga menyebabkan sistem kesihatan awam kita lumpuh.”
Meskipun begitu, beliau merasa PKP akan dapat memberi ruang kepada sistem kesihatan awam, kerana hospital kini kekurangan tempat tidur dan ICU yang ditujukan untuk pesakit Covid-19.
Namun katanya Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperbaiki usaha pengesanan kontak bagi mengasingkan dan menguji kontak rapat kerana ia akan membantu mencegah kluster.
Katanya pengesanan kontak oleh KKM ketika ini belum cukup baik, terutama susulan beberapa dakwaan respons yang lambat berhubung perkara ini.
“Kami ada dengar beberapa kes di mana pesakit hanya dibawa ke pusat rawatan beberapa hari setelah didapati positif. Apa lagi kontak rapat? Satu-satunya cara kita dapat memastikan angka kita rendah adalah dengan mengenal pasti semua kontak rapat pesakit dalam masa 48 jam dan menguji serta mengasingkan mereka,” katanya.
Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, bulan lalu mendesak Putrajaya untuk mewujudkan jaringan pengesanan kontak yang terdiri daripada 10,000 pekerja khas selain saringan besar-besaran.
Beliau berkata graduan yang masih menganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak itu bolek direkrut sambil dilatih dan dipantau oleh pegawai kesihatan awam.