Ejen hartanah mengaku tak salah tipu beli 281 jam tangan RM3 juta

Ejen hartanah mengaku tak salah tipu beli 281 jam tangan RM3 juta

Tertuduh didakwa memperdayakan mangsa untuk mempercayainya membuat bayaran menggunakan cek sedangkan akaun bank terlibat telah ditutup.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan ikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin.
KUALA LUMPUR:
Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang pengurus kedai jam tangan berhubung pembelian 281 utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM3 juta, dua tahun lepas.

Tjoeng Chan Chin, 43, didakwa menipu Ng Chor Kee, 53, dengan memperdayakannya untuk mempercayai dia telah membuat pembayaran bagi pembelian 281 jam tangan melalui sekeping cek bernilai RM3 juta, sedangkan tertuduh mengetahui bahawa akaun bank atas sebuah syarikat telah ditutup.

Akibat diperdayakan, mangsa didorong untuk menyerahkan jam tangan berkenaan kepada tertuduh.

Tjoeng didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai jam tangan di pusat beli-belah di Lingkaran Syed Putra Kuala Lumpur, Brickfields, pada 25 Okt 2019, menurut laporan Bernama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin, menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh mempunyai beberapa kes tipu lain di Johor, serta Petaling Jaya dan Puchong, Selangor.

“Jaminan yang tinggi adalah untuk mengelakkan tertuduh melarikan diri,” katanya.

Peguam K Jaikumaran yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung isteri tidak bekerja, dua anak serta ibu bapa yang berusia.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.