Tangguh segera umum lokasi berisiko Covid-19, gesa persatuan runcit

Tangguh segera umum lokasi berisiko Covid-19, gesa persatuan runcit

Maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot' itu menganggu kelangsungan perniagaan terutama bagi premis yang diletakkan di bawah lokasi titik panas penularan Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mengeluarkan senarai lokasi dan premis berisiko dikenal pasti sebagai titik panas penularan Covid-19 bertujuan membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan sebelum menuju ke sesuatu lokasi.
PETALING JAYA:
Tiga persatuan menggesa kerajaan menangguhkan segera pengumuman mengenai maklumat diperoleh daripada sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) sehingga asas yang jelas, tepat dan terperinci disertakan dengan maklumat yang dikeluarkan.

Persatuan itu mendakwa dengan wujudnya maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot’ berkenaan, ia menganggu kelangsungan perniagaan terutama bagi premis yang diletakkan di bawah lokasi titik panas penularan Covid-19.

“Memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot,’ kami percaya cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniagaan.

“Cadangan penutupan ini sepatutnya ditangguhkan sehingga data yang digunakan dalam HIDE telah disahkan tepat dan lokasi hotspot dikenal pasti dengan tepat,” kata persatuan itu dalam kenyataan, menurut laporan Bernama.

Gesaan itu dibuat oleh tiga persatuan yang mewakili pusat beli-belah dan industri peruncitan di seluruh negara dalam kenyataan bersama iaitu Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata premis termasuk bazar Ramadan yang disenaraikan di bawah sistem HIDE sebagai lokasi berisiko Covid dalam penularan virus itu akan diarahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, kerajaan mengeluarkan senarai pertama premis perniagaan (https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/08/pusat-membeli-belah-terkemuka-di-lembah-klang-antara-lokasi-hotspot-covid-19/) dalam sistem HIDE yang dikenal pasti sebagai hotspot Covid-19 yang berpotensi menularkan pandemik tersebut.

Ketiga-tiga persatuan itu turut menekankan dan mengulangi bahawa keselamatan pelanggan adalah keutamaan di pusat beli-belah.

Katanya, dengan kewujudan semua SOP yang diperlukan termasuk langkah meningkatkan pembersihan serta pembersihan berkala, pusat beli-belah adalah tempat yang selamat dikunjungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.