Pandelela beri sokongan kepada pelajar dedah gurauan rogol

Pandelela beri sokongan kepada pelajar dedah gurauan rogol

Dalam catatan di Twitter, Pendelela menyokong pelajar itu kerana menyuarakan pandangan untuk menjadikan sekolah lebih selamat.

Penerjun negara, Pandelela Rinong memberi sokongan kepada pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam kerana menyuarakan pandangannya untuk menjadikan sekolah tempat lebih selamat.
PETALING JAYA:
Penerjun negara, Pandelela Rinong memberi sokongan kepada seorang pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam yang mendedahkan perbuatan seorang guru membuat gurauan rogol di sekolah.

Semalam, pelajar berkenaan digelar sebagai “anak setan pakai tudung” oleh seorang pembaca di ruang komen laman Facebook milik ayahnya, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman sebelum itu mendesak tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit yang didakwa seorang guru susulan komennya itu.

Antara yang memberi sokongan kepada Ain hari ini adalah Pandelela yang baru-baru ini meraih pingat emas acara 10m platform individu pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo.

Dalam catatan di Twitternya Pendelela menyokong Ain kerana menyuarakan pandangannya untuk menjadikan sekolah tempat lebih selamat.

“Seperti apabila saya cuba (bawa) #makesportasaferplace, saya digelar Diva, dengan ‘double meaning'”.

“Kepada Ain, saya menasihatkan kepada kamu untuk terus berhati-hati. Kamu akan disabotaj jika tidak tidak berhati-hati.

“Apapun teruskan bersuara untuk masa depan kita,” katanya, yang turut mengakhiri catatan itu dengan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace.

Sebelum ini, pelajar perempuan 17 tahun itu membuat laporan polis terhadap rakan sekelasnya yang membuat ugutan rogol selepas beliau mendedahkan perbuatan seorang guru membuat gurauan rogol.

Laporan polis itu bagaimanapun ditarik balik selepas remaja lelaki itu meminta maaf.

Namun selepas bercakap dengan Malaysiakini pada 27 April lalu, beberapa komen lucah dikesan dalam laman Facebook portal itu mengenai hantaran temu bual pelajar berkenaan, sekali gus mencetuskan kegemparan dalam kalangan warganet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.