Lebih 500 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah berpatah balik

Lebih 500 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah berpatah balik

Jumlah berkenaan direkodkan sepanjang tempoh 12 tengah malam sehingga 5.00 petang semalam di tiga laluan masuk utama ke negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat (dua dari kiri) meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bunut Susu, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas malam tadi. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Lebih 500 kenderaan yang cuba memasuki negeri ini telah diarah berpatah balik semalam kerana tidak memiliki surat kebenaran rentas negeri, kata Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat.

Beliau berkata jumlah berkenaan direkodkan sepanjang tempoh 12 tengah malam sehingga 5.00 petang semalam di tiga laluan masuk utama ke negeri itu, iaitu di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

Selain tidak memiliki surat kebenaran rentas negeri, Shafien berkata terdapat segelintir pengguna jalan raya yang hanya membawa surat rentas negeri tanpa pengesahan mana-mana balai polis,yang sengaja dilakukan dengan tujuan mahu mengaburi pihak berkuasa.

Mengulas mengenai PKPD Mukim Bunut Susu, Shafien berkata lebih 100 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas mengawal tiga lokaliti kawasan yang mempunyai jumlah penduduk lebih 1,800 itu.

“Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) Mukim Bunut Susu melibatkan tiga lokaliti yang agak luas dan memerlukan ramai anggota untuk mengawal. Anggota yang terlibat akan bertugas mengawal pergerakan masyarakat termasuk di lebih 30 laluan kecil atau ‘lorong tikus’,” katanya.

Sebagai rekod Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu dikenakan PKPD berkuat kuasa hari ini hingga 22 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.