Peguam setuju ahli politik tidak dilantik ketuai suruhanjaya polis

Peguam setuju ahli politik tidak dilantik ketuai suruhanjaya polis

G25 baru-baru ini mencadangkan Fasal (3)(a) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membatalkan keperluan melantik menteri dalam negeri sebagai pengerusi SPP.

PETALING JAYA:
Beberapa peguam menyokong gesaan supaya dibatalkan peruntukan perlembagaan yang menetapkan menteri dalam negeri sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, gesaan kumpulan bekas penjawat awam, G25, itu jika dipenuhi boleh menjamin pasukan polis bebas politik, selain memastikan kecekapan pentadbiran dan penguatkuasaannya.

G25 baru-baru ini mencadangkan Klausa (3)(a) Perkara 140 Perlembagaan Perlembagaan dipinda bagi membatalkan keperluan melantik menteri dalam negeri sebagai pengerusi SPP.

Kumpulan ini memberi respons kepada dakwaan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin campur tangan dalam urusan polis dengan berkata, ahli politik atau individu berkaitan politik tidak harus menjadi pengerusi SPP.

Salim bersetuju bahawa pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran anggota polis perlu bebas daripada apa-apa bentuk pengaruh politik.

Beliau berkata, individu bukan politik dan bebas harus mempengerusikan SPP dan merupakan hakim bersara, pesara kanan perkhidmatan awam atau mana-mana individu ternama.

“Langkah ini boleh dilihat sebagai usaha menjamin kebebasan pasukan polis,” katanya.

Peguam dan bekas Ahli Parlimen Dominic Puthucheary berkata, penggubal Perlembagaan Persekutuan menjangka ahli politik akan berpegang kepada standard tingkah laku yang menjamin mereka menghormati peraturan tidak bertulis seperti tidak mencampuri urusan perkhidmatan awam atau menggunakannya untuk tujuan politik.

“Bagaimanapun perlembagaan tidak mengambil kira kemungkinan politik akan rosak seperti sekarang,” katanya.

Puthucheary berkata, individu yang mempengerusikan suruhanjaya itu mesti berpengalaman dalam kehidupan awam dan faham makna serta implikasi kedaulatan undang-undang.

“Tidak harus ada apa-apa kepentingan sama sekali. Satu-satunya kepentingan yang wujud ialah memelihara Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.”

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, cadangan pindaan perlembagaan itu “sangat penting”.

Beliau berkata, sebagai anggota cabang eksekutif kerajaan, menteri dalam negeri tidak sepatutnya memainkan apa-apa peranan SPP kerana ia bakal menjadikannya terdedah kepada salah guna dan boleh memberi kesan ke atas kebebasan proses pelantikan kakitangan penting pasukan polis.

“Pelantikan politik kakitangan penting polis mencetuskan keraguan terhadap kredibiliti proses pelantikan dan menimbulkan persoalan berhubung kebebasan pasukan polis dan kemampuannya berkhidmat dengan bebas dan saksama.”

Beliau berkata, pendedahan mengenai amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam pasukan polis baru-baru ini “jelas” menunjukkan bahawa suruhanjaya itu perlu bebas bagi memulihkan pasukan berkenaan dan membina semula kepercayaan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.