
Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata perbuatan zalim itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
“Ramai orang Palestin yang tercedera dalam serangan itu. Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan adalah satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.
“Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini.
Tambahnya, Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada orang Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.