
Dr Ahmad, yang berpangkalan di sebuah hospital di Sarawak berkata, waktu bekerja harian kakitangan bertambah daripada lapan kepada 12 jam sejak beberapa minggu ini.
“Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad juga meningkat dan masa tambahan bekerja menggunakan PPE (peralatan perlindungan peribadi) sangat meletihkan, terutamanya kerana kini masih bulan Ramadan,” katanya kepada FMT.
Ahmad mengeluh kerana cuti Hari Raya semua kakitangan dibekukan, menjadikan ini tahun kedua beliau menyambutnya berjauhan dari keluarga di Shah Alam.
“Sebagai manusia tentulah saya berasa kecewa dengan keadaan kini. Saya tidak pulang ke rumah atau berjumpa isteri selama enam bulan.
“Namun susulan perkembangan terbaharu di India dan mutasi virus yang sedang berlaku, saya tidak menjangka angka (jangkitan) akan menurun dalam tempoh terdekat.”
Pada Isnin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kementerian merekodkan peningkatan berterusan jumlah kes dalam tempoh lima minggu terakhir dengan purata 3,049 kes minggu lepas.
“Negara mencatatkan 4,498 kes baharu semalam, iaitu kali pertama ia melepasi angka 4,000 sejak 4 Februari.
Seorang lagi petugas barisan hadapan Dr Pragash dari Johor, menyuarakan kekecewaan terhadap pertambahan jumlah kes kerana ia bermakna semua usaha mereka sejak awal tahun lepas menjadi sia-sia.
“Kami berusaha bertungkus-lumus untuk mengurangkan jumlah kes, tetapi bila anda mendengar 2,500 ke 3,000 kes sekali lagi, ia juga bermakna kami tidak akan mendapat cuti dan perlu terus bekerja dalam syif tambahan yang panjang,” katanya.
Menurut Pragash, jabatannya menjalankan sekurang-kurangnya 150 hingga 180 ujian swab setiap hari sejak bermulanya pertambahan kes. Sebelum ini mereka menjalankan kira-kira 80 ujian sehari.
“Ia perjuangan harian yang sangat meletihkan dan tidak terlihat penghujungnya,” katanya selain menambah bahawa semua petugas barisan hadapan menjangka keadaan akan menjadi lebih buruk.
“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini sehinggalah kita benar-benar melihat tiada kes selama dua minggu terus-menerus. Hanya pada ketika itu kita boleh berehat sedikit.”
Sementara itu Dr Vinitha di Selangor memberitahu FMT bahawa beliau tidak mengambil cuti tahunan sejak Ogos tahun lepas. Masa rehatnya kini hanyalah pada hujung minggu atau cuti awam jika tidak bertugas dalam panggilan.
Katanya, sumber hospital di Lembah Klang semakin meruncing, sementara petugas barisan hadapannya “kehabisan bateri”.
Vinitha juga mengakui bahawa kelesuan pandemik kini menyelubungi bukan sahaja kakitangan hospital, tetapi juga orang ramai.
“Malang sekali kerana semakin ketat peraturan yang dilaksanakan, orang ramai semakin melawan, bukannya semakin mematuhinya. Ia jelas merupakan perjuangan bersama.
“Angka (jangkitan) tidak akan menurun jika kita terus melakukan perkara yang kita buat sekarang.”