Kebarangkalian roket China timpa manusia sangat rendah

Kebarangkalian roket China timpa manusia sangat rendah

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, jangkaan itu berdasarkan 70% permukaan bumi terdiri daripada air, selain keluasan Malaysia kecil berbanding keluasan muka bumi.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, lokasi sebenar roket tersebut dijangka terhempas masih tidak dapat diramal dengan tepat. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang terhadap laporan roket milik China dikenali sebagai Long March 5B dijangka terhempas ke bumi hujung minggu ini kerana kebarangkalian objek itu menimpa manusia atau merosakkan struktur bangunan sangat rendah.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), jangkaan itu berdasarkan 70% daripada permukaan bumi terdiri daripada air, selain keluasan Malaysia kecil berbanding keluasan muka bumi.

Selain itu, lokasi sebenar roket tersebut dijangka terhempas atau “re-entry” masih tidak dapat diramal dengan tepat dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

“Ramalan terkini bahawa ‘re-entry’ roket Long March 5B akan jatuh ke bumi adalah pada 7 Mei, 9.34 pagi hingga 3.34 petang waktu Malaysia.

“Sisa roket masih mengorbit dan semakin menurun menghampiri ‘re-entry zone’,” kata kenyataan MYSA.

Menurut MYSA, setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan bergantung kepada saiz roket yang dilancarkan. Memandangkan saiz Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke bumi juga besar.

Bagaimanapun, MYSA menjelaskan sebahagian besar serpihan tersebut akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan kecil, selain hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja akan jatuh ke bumi.

Sehubungan itu, MYSA menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan atau menyedut wap yang dikeluarkan daripada serpihan disyaki daripada kejadian roket terhempas tersebut.

MYSA juga menasihati orang ramai menghubungi talian kecemasan 999 atau MYSA di talian 03 26972570 serta membuat laporan sewajarnya jika menyaksikan kejadian tersebut dan merakamkannya bagi membantu siasatan serta tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu.

MYSA berkata, Long March 5B bukan objek terbesar yang memasuki ruang atmosfera bumi, sebaliknya rekod sebelum ini melibatkan stesen angkasa Mir milik Rusia dengan muatan 120,000kg pada 23 Mac 2001.

Sebagai perbandingan, berat sisa roket Long March 5B dijangka dalam 21,000kg dan hanya 1/5 daripada berat stesen angkasa Mir, menurut kenyataan itu.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April lepas untuk menghantar modul teras stesen angkasa China iaitu Tianhe dengan berat 22,600kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.