Bazar Ramadan, Aidilfitri di kawasan PKP tutup bermula Isnin

Bazar Ramadan, Aidilfitri di kawasan PKP tutup bermula Isnin

Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem HIDE juga akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Penutupan bazar Ramadan juga akan dilakukan selama tiga hari jika ia termasuk dalam kategori Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).
PETALING JAYA:
Semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan ditutup bermula Isnin ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 yang kembali meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata penutupan bazar Ramadan juga akan dilakukan selama tiga hari jika ia termasuk dalam kategori Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

“Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem HIDE akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, kerajaan sedia memperketatkan SOP jika kes Covid-19 meningkat.

“Ini kerana, trend kes dalam negara kita semakin membimbangkan ditambah pula dengan penemuan varian baru Covid-19,” katanya.

Katanya, pelaksanaan PKP dibuat berpandukan sistem amaran awal HIDE yang dibangunkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini bermakna, sekiranya sistem HIDE mengesan sesuatu lokaliti itu merekodkan penularan kes, maka kerajaan akan membuat penilaian risiko bersama KKM untuk menutup sementara lokaliti tersebut bagi membolehkan PKP dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5m di kawasan terbuka bagi tujuan kesihatan adalah dibenarkan.

Sekatan aktiviti rentas negeri, daerah diperluas

Ismail turut memaklumkan, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis di seluruh negara tidak dibenarkan berkuatkuasa 10 Mei hingga 6 Jun.

Katanya, selain itu aktiviti rentas daerah dan negeri membabitkan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam tidak dibenarkan dalam tempoh sama.

“Aktiviti rasmi, sosial dan bersemuka oleh kerajaan dan swasta juga tidak dibenarkan (bermula 10 Mei hingga 6 Jun),” katanya memaklumkan larangan itu akan disemak semula selepas dua minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.