Rosmah fail permohonan batal perbicaraan rasuah

Rosmah fail permohonan batal perbicaraan rasuah

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, itu juga mahu perisytiharan yang pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya tidak sah.

Rosmah Mansor mahu perisytiharan beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika mahkamah memutuskan prosiding itu adalah perbicaraan silap.
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor, yang diarahkan membela diri dalam perbicaraan rasuahnya, memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan prosiding di Mahkamah Tinggi itu terbatal.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, itu turut memfailkan satu lagi permohonan untuk mendapatkan perisytiharan yang pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kesnya tidak sah dan tidak teratur.

Rosmah juga mahu perisytiharan beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika mahkamah memutuskan prosiding itu adalah perbicaraan silap.

Beliau memfailkan dua afidavit berasingan untuk menyokong permohonannya.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata, kertas kausa difailkan di Mahkamah Tinggi semalam dan salinannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara hari ini.

“Pengurusan kes ditetapkan pada Selasa di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan,” katanya kepada FMT.

Permohonan itu difailkan selepas panel Mahkamah Rayuan pada bulan lalu memutuskan surat pelantikan Sri Ram tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas.

Hakim Suraya Othman, yang mempengerusikan panel tiga hakim itu, turut berkata surat itu bertarikh 8 Julai 2020 – 19 bulan selepas Rosmah didakwa – dan ditandatangani Peguam Negara, Idrus Harun.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudian bersetuju mengemukakan salinan surat pelantikan Sri Ram kepada pihak pembelaan dalam masa tiga hari daripada penghakiman Mahkamah Rayuan itu.

Peguam Rosmah sebelum itu mahu melihat surat berkenaan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi.

Ogos lalu, Zaini menolak permohonan Rosmah untuk memaksa Sri Ram menunjukkan lesennya bagi mendakwa kes itu. Katanya, pelantikan Sri Ram dilakukan Thomas dan tiada bukti menunjukkan sebaliknya.

Rosmah, 69, didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Kes pembelaan itu dijadualkan didengar pada 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun, serta 12 dan 15 Julai ini.

Najib turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan berterusan kes meminda laporan audit 1MDB.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM9.5 juta, juga cuba menggugurkan Sri Ram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.