RM40 untuk seekor anjing liar, pencinta haiwan seret majlis daerah ke mahkamah

RM40 untuk seekor anjing liar, pencinta haiwan seret majlis daerah ke mahkamah

MDCH mendakwa kempen ditangguhkan sementara berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

MDCH menangguhkan rancangannya untuk memberikan ganjaran RM40 bagi setiap anjing liar yang ditangkap orang ramai di kawasan Cameron Highland. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan penyelamat haiwan hari ini mengheret Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) ke mahkamah, berhubung rancangan pihak berkuasa tempatan itu yang mahu menawarkan ganjaran RM40 bagi setiap seekor anjing liar yang ditangkap di kawasannya.

MDCH sebelum ini menangguhkan kempen berkenaan selepas menerima tekanan daripada aktivis haiwan tetapi mendakwa ia ditangguhkan sementara berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lawyers for Animal Rights (LAR) berkata, permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan MDCH itu sudah difaikan di Mahkamah Tinggi Temerloh.

“Kami bimbang kempen yang dilaksanakan MDCH ini akan mengakibatkan berleluasanya penderaan terhadap haiwan yang bukan hanya membabitkan anjing liar tetapi juga anjing peliharaan yang akan ‘diculik’ bagi mendapatkan ganjaran RM40.

“Keadaan ngeri ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan,” kata kumpulan berkenaan yang terdiri daripada peguam Rajesh Nadarajan, Sachpreetraj Singh dan Arun Ganesh Boopalan, dalam kenyataan hari ini.

Catatan MDCH di Facebook berhubung ganjaran menangkap anjing liar yang kemudian dipadam.

MDCH dalam catatan di Facebook pada 27 Jan lalu “menjemput semua yang mahu menjana pendapatan ketika musim PKP” untuk menangkap anjing liar di kawasan pentadbirannya.

Ganjaran RM40 akan diberikan bagi setiap seekor anjing yang ditangkap, kata MDCH.

Catatan itu bagaimanapun sudah dipadam berikutan bantahan yang diterima daripada pencinta haiwan.

Kumpulan itu berkata, kempen menangkap anjing liar itu menyalahi Seksyen 29(1)(u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana menganjurkan dan mempromosi penangkapan anjing liar bagi menjana ekonomi yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.