PRU15 akan jadi mimpi ngeri, kata Jeyakumar

PRU15 akan jadi mimpi ngeri, kata Jeyakumar

PSM perlu menyertai gabungan politik dan tidak mungkin bertanding bersendirian.

Pengerusi PSM Jeyakumar Devaraj berkata, PRU15 akan menjadi sukar kerana semua parti mahukan kuasa.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berhempas pulas untuk mendapat tempat dalam landskap Malaysia sejak menyertai pilihan raya pada 2008 menjangka pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menjadi “mimpi ngeri”.

Pengerusi parti itu Dr Jeyakumar Devaraj berkata, keadaan itu bukan sahaja bakal melibatkan PSM, tetapi semua parti berdasarkan senario politik semasa.

“PRU15 akan menjadi mimpi ngeri bukan sahaja untuk kami, tetapi juga negara ini secara keseluruhan. Ia begitu rumit dan tidak mudah bagi mana-mana parti kerana semua pihak nampaknya mahu merebut kuasa.

“Bagaimanapun sebagai sebuah parti PSM perlu mengambil bahagian. Sukar untuk mendapat keputusan yang baik melainkan kami menyertai gabungan tertentu. Justeru PSM sedang mengkaji kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ia merupakan rakan kongsi kami sebelum ini,” katanya dalam temu bual dengan “The Big Picture” terbitan BFM semalam.

Tiga calon PSM bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dan seorang sebagai calon Bebas.

Dua daripada mereka menang di dua kerusi pertama PSM, dengan Jeyakumar berjaya mengalahkan gergasi politik, iaitu Presiden MIC S Samy Velly di Sungai Siput.

Presiden PSM Mohd Nasir Hashim memenangi kerusi Kota Damansara dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi dimenangi pada 2013 juga di bawah tiket PKR, tetapi Nasir tewas.

Pada 2018, Jeyakumar dan semua calon PSM kalah setelah bertanding di bawah tiket parti itu susulan pertikaian dengan PH.

Jeyakumar menegaskan bahawa PSM merupakan sebuah parti demokratik yang bebas dan tidak akan berkrompomi berhubung prinsip perjuangannya.

Beliau berkata, tidak munasabah calon parti itu bertanding secara bersendirian kerana ia tidak baik dari sudut politik.

Justeru katanya, PSM perlu menyertai gabungan politik dan pilihan terbaiknya ialah PH kerana mereka mengongsi banyak perkara, walaupun mempunyai perbezaan berhubung prinsip tertentu.

“Kami sedang berunding, ia sedang berjalan.”

Jeyakumar berkata, PH mengenal pasti rasuah dan pentadbiran lemah sebagai isu utama dalam perjuangan politiknya dan percaya jika kedua-duanya diatasi keadaan akan menjadi lebih baik.

“Wawasan kemasyarakatan kami berbeza. Memang kami akui dua isu itu penting, tetapi ideologi kami pergi lebih jauh dan melibatkan pembelaan terhadap golongan pekerja yang berdepan kesan negatif penindasan upah.

“Misalnya pekerja kilang di Bayan Lepas dibayar 1/6 atau 1/8 gaji pekerja di California yang mengeluarkan semikonduktor yang sama pada nilai yang juga sama.

“Ini tidak berkaitan dengan produktiviti. Bank Dunia akan memberitahu bahawa syarikat multinasional terbabit tidak bersikap jujur kepada kita,” katanya.

Jeyakumar berkata, sistem ekonomi dunia distruktur demikian rupa dengan 0.01% golongan kaya menguasai orang lain, sekali gus menegaskan bahawa rantai itu harus diputuskan.

Beliau berkata, perkara ini gagal ditangani oleh PH dan gabungan politik lain, selain menambah bahawa hasilnya negara maju mendapat manfaat daripada sistem penindasan upah itu.

Beliau berkata, banyak kekayaan dihasilkan oleh pekerja syarikat antarabangsa ini dengan kerajaan mengambil cukai korporat dan memberikan pelbagai keistimewaan yang menyebabkan peruntukan dana untuk pembangunan berkurang.

“Perjanjian perdagangan bebas mesti dipinda dan parti seperti DAP dan PKR tidak mengiktirafnya. Saya melihat PSM sebagai versi PH yang bekerja lebih gigih. Kami tertumpu kepada akar umbi.

“Orang ramai tidak mengetahui perkara itu dan ia merupakan antara matlamat PSM. Kami mahu memberitahu rakyat bahawa wawasan kami berbeza dengan parti lain dari konteks ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.