
Pulau Pinang mempunyai 1,242 kes aktif, dengan 2,499 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 14 hari lalu.
Kadar kebolehjangkitan turut meningkat melepasi nilai 1.0, antara 1.08 dan 1.18 dalam skala R0.
Negeri itu kini berada di bawah PKP bersyarat (PKPB).
Kata Chow, lonjakan kes semasa kebanyakannya berpunca daripada aktiviti sosial dan dalam sektor pendidikan, anjakan besar daripada kluster kilang sebelum ini.
Beliau berkata, walaupun pematuhan SOP melebihi 95%, seperti dilaporkan agensi penguatkuasaan, risiko penularan virus masih tinggi kerana “hos” virus atau pembawa tanpa gejala tetap menjadi ancaman.
Dalam kenyataan susulan, Chow berkata, jawatankuasa teknikal di Putrajaya akan memutuskan status PKP yang baharu di Pulau Pinang, dan pihak berkuasa tempatan bersiap sedia menghadapi “tempoh getir”.
“Kapasiti wad ICU bagi pesakit Covid-19 dilaporkan di tahap 83%, berdasarkan pendedahan Kementerian Kesihatan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri.”
Beliau berkata, analisis risiko lebih mendalam oleh Jabatan Kesihatan negeri diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara kelmarin, dan versi yang disemak semula hari ini, untuk perhatian Perdana Menteri dan MKN.
“Kami menyaksikan lonjakan dalam kluster kilang sebelum ini, sekarang ia beralih kepada acara sosial dan sektor pendidikan. Kami percaya apa saja bentuk PKP yang dikenakan, ia akan mengetatkan langkah untuk membendung penularan (virus di sektor ini),” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Beliau berkata, pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan ekonomi atau pekerja kilang mungkin tidak dapat dilakukan ketika ini kerana menurut Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, bekalan vaksin kurang.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mendedahkan kadar jangkitan Covid-19 di negeri itu sejak seminggu lalu adalah 138 kes bagi setiap 100,000 orang.
Kadar tertinggi di daerah Seberang Perai Selatan dengan 201 kes/100,000 orang, diikuti Seberang Perai Tengah (159), Timur Laut (130), Barat Daya (110) dan Seberang Perai Utara (108).