Kenapa guru buat lawak rogol masih mengajar, soal Ahli Parlimen

Kenapa guru buat lawak rogol masih mengajar, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto tertanya-tanya jika tindakan sudah diambil dan sama ada kerajaan serius dalam menangani isu itu.

Kasthuri Patto mempersoalkan bagaimana siasatan ke atas dakwaan Ain Husniza Saiful Nizam boleh dilakukan dengan adil, jika guru berkenaan tidak digantung tugasnya.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menjelaskan kenapa guru yang didakwa membuat lawak rogol dibenarkan terus mengajar, walaupun siasatan sedang dijalankan.

Putrajaya turut diminta menggariskan apa tindakan yang diambil berhubung perkara itu.

Ain Husniza Saiful Nizam, yang video TikToknya menceritakan kejadian itu menjadi tular dan mencetuskan kemarahan ramai, berkata dalam sebuah forum dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam bahawa individu itu masih mengajar.

Malah dia cuba meyakinkan pelajar lain dakwaan terhadapnya adalah fitnah, kata Ain.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, membenarkan guru yang didakwa membuat komen sedemikian untuk terus berinteraksi dengan pelajar memberi mesej bahaya kepada orang ramai dan pemangsa seksual.

Beliau mengkritik kurangnya tindakan daripada kerajaan kerana tiada permohonan maaf dibuat guru itu dan tiada perkembangan mengenai siasatan Kementerian Pendidikan yang diumumkan.

“Menteri Pendidikan Radzi Jidin menyatakan siasatan terperinci akan dijalankan ke atas dakwaan ini. Bukankah guru itu patut digantung tugas sementara menunggu siasatan?” soalnya dalam kenyataan.

“Bagaimana siasatan akan dijalankan secara adil dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, jika guru berkenaan masih dibenarkan mengajar tanpa tindakan diambil dan masih mempunyai akses kepada pelajar?”

Kasthuri, yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP, turut membidas kurangnya respons daripada kerajaan terhadap surat dwipartisan yang ditandatangani 20 Ahli Parlimen wanita yang mendesak kerajaan memandang serius perkara itu.

“Adakah pengalaman pahit Ain, menjadi mangsa gangguan seksual dan lawak mengenai rogol, liwat serta pengantunan seksual oleh guru di sekolahnya, dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

“Jika tidak, kenapa? Jika ya, apa hasilnya?” soal beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.