
Hakim Akhtar Tahir berkata Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil@Maximilhian tiada locus standi untuk membuat tuntutan itu.
“Tuntutan itu juga semberono dan menyalahguna proses pengadilan,” kata hakim dalam keputusan lisannya.
Hakim memerintahkan Maklin dan Lawrence masing-masing membayar RM50,000 kepada Hadi sebagai kos.
Hakim tidak percaya saman ini berkepentingan awam kerana Hadi membuat kenyataan itu pada 2016 tapi hanya ditimbulkan beberapa tahun kemudian.
Oleh itu, katanya, “mahkamah harus mengenakan kos (terhadap penyaman) kerana kes yang semberono boleh mensesakkan sistem keadilan dengan litigasi yang tidak perlu.”
Malah, Maklin dan Lawrence menimbulkan kembali perkara yang berlaku pada 2016, katanya.
Hakim berpandangan kenyataan Hadi itu ditujukan kepada pendakwah yang membayar wang untuk menjadikan orang beragama Kristian dan bukan terhadap orang Kristian secara umum.
“Oleh itu, dua orang ini tiada locus standi untuk membuat tuntutan ini,” katanya.
Hakim juga berkata mereka tidak ikut peraturan mahkamah dalam membuat tuntutan, kerana tidak mengemukakan kenyataan asal Hadi tetapi berdasarkan dokumen sekunder daripada penerbitan lain.
“Kita pun tak tahu sama ada artikel Harakah yang asal dalam Bahasa Inggeris atau bahasa lain,” tambahnya.
Maklin dan Lawrence dalam saman pemula mereka mendakwa Hadi membuat kenyataan berunsur hasutan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah, pada 18 Jan 2016 terhadap orang Kristian dan/atau pendakwah Kristian.
Dalam afidavit mereka, Maklin dan Lawrence berkata kenyataan Hadi diterbitkan oleh FMT pada hari sama.
Peguam R Kengadahran berkata beliau diarah anak guam untuk merayu keputusan ini. Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Hadi.