Akhiri kemelut pekerja kolej Sabah, pohon MTUC

Akhiri kemelut pekerja kolej Sabah, pohon MTUC

Isu masih belum selesai walaupun Ketua Menteri Hajiji Noor berjanji akan memanggil pengurusan UCSF untuk menjelaskan tentang pemotongan gaji kakitangan.

Sementara pekerja UCSF masih tertanya-tanya tentang gaji mereka yang belum dibayar, pelajar pula risau tentang kursus yang tidak menerima akreditasi.
KOTA KINABALU:
Seperti tiada penghujungnya kemelut yang dihadapi pekerja Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) yang dipotong separuh gaji, walaupun dengan jaminan kerajaan negeri bahawa bantuan akan tiba.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Sabah (MTUC) Catherine Jikunan berkata, masih belum ada penyelesaian bagi isu ini, walaupun Ketua Menteri Hajiji Noor telah berjanji akan memanggil pengurusan UCSF untuk menjelaskan tentang pemotongan gaji tersebut.

Jikunan berkata, mereka mendapat khabar bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan dana kepada UCSF melalui Yayasan Sabah, pemilik kolej itu, yang dipercayai dapat menyelesaikan masalah gaji belum dibayar.

Namun, kata beliau, pekerja kemudian hanya menerima 75% daripada gaji April mereka, tetapi gaji yang sepatutnya mereka terima bagi Oktober tahun lalu hingga Mac tahun ini, masih belum dibayar.

“Para pekerja kini tertanya-tanya apa akan jadi dengan gaji mereka bagi bulan-bulan berikutnya,” kata beliau.

Kata Jikunan, 35 pekerja yang terkesan telah memfailkan tuntutan dengan Jabatan Buruh negeri berkenaan gaji yang belum dibayar.

Kes tersebut didengar pagi ini, tetapi tiada keputusan dicapai.

“Inilah sebabnya kami memohon kerajaan negeri campur tangan,” kata beliau.

“Apabila dapat dana dari negeri, pengurusan UCSF sepatutnya mengutamakan pekerja … kami juga tidak pasti apa arahan kerajaan negeri (mengenai pembayaran gaji).

“Kami menggesa kerajaan negeri yang baharu menunaikan janji dan segera menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan mereka yang terkesan adalah pekerja B40 … mereka mempunyai keluarga untuk diberi makan. Hari Raya juga akan tiba,” kata beliau.

Jurucakap 146 pekerja kolej yang terjejas akibat pemotongan gaji sebelum ini berkata, mereka hanya menerima separuh daripada gaji mereka sejak September tahun lalu, dan telah meminta kerajaan negeri untuk campur tangan.

Para pekerja pertama kali menerima memo dalaman pada Jun tahun lalu daripada Naib Canselor UCSF Mohamed Haleem Mohamed Razi yang mengumumkan pemotongan gaji sementara sebagai sebahagian daripada langkah berjimat cermat berikutan penurunan pengambilan pelajar bagi semester April.

Jurucakap itu berkata, pekerja menerima gaji penuh daripada Jun hingga Ogos, tetapi pada September, selepas Warisan kalah kepada pakatan Gabungan Rakyat Sabah pada pilihan raya negeri, pemotongan gaji 50% dilaksanakan semula.

Bawah skim pemotongan kos yang diperincikan dalam memo Jun 2020, pekerja akan dikenakan potongan gaji 50% dengan waktu bekerja dikurangkan menjadi 20 jam seminggu, atau tiga hari seminggu.

Jikunan berkata, pengurusan UCSF terus menggunakan kadar pendaftaran pelajar yang rendah sebagai alasan untuk tidak membayar gaji pekerja.

“Tetapi adakah itu salah pekerja? Bukankah tanggungjawab pihak pengurusan untuk melakukan pemasaran dan memperbaiki imej kolej?”

“Kami juga terkejut dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan baru-baru ini bahawa beliau akan menyelesaikan masalah kewangan kolej, selain menaikkan taraf UCSF menjadi institusi global.

“Kami menyokongnya, tetapi bagaimana ia akan dicapai jika gaji pekerja juga tidak dibayar?” soal beliau.

Jikunan juga mendedahkan bahawa ibu bapa bekas pelajar kolej tersebut mengadu kepada MTUC Sabah bahawa diploma anak-anak mereka belum mendapat akreditasi.

“Anak-anak mereka kini berdepan masalah, sama ada untuk melanjutkan pengajian, mahupun mencari kerja, kerana sijil tidak diiktiraf,” kata beliau.

Tambah beliau, ibu bapa tersebut telah banyak berkorban dari segi kewangan untuk menanggung kos pengajian anak mereka, jadi tidak adil perkara seperti ini berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.