Tiada maklumat taikun ambil alih lapangan terbang Subang, kata MAHB

Tiada maklumat taikun ambil alih lapangan terbang Subang, kata MAHB

MAHB berkata buat masa ini, ia belum menerima butiran cadangan itu, malah tiada perbincangan dengan kerajaan mengenainya.

Laporan sebelum ini menyebut taikun hartanah Desmond LIM mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mengambil alih lapangan terbang berkenaan dan kawasan sekitar.
PETALING JAYA:
Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata ia tidak menerima maklumat mengenai pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang dan kawasan sekitarnya.

Laporan sebuah portal hari ini menyebut bahawa WCT Holdings Bhd, yang dikuasai taikun hartanah Desmond Lim, telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mengambil alih lapangan terbang itu bagi pembangunan komersial, termasuk pusat beli-belah, pejabat dan tempat pameran.

MAHB dalam kenyataan berkata “bukan sesuatu yang luar biasa” untuk cadangan dikemukakan kepada kerajaan bagi membangunkan lapangan terbang baharu atau mengambil alih lokasi sedia ada, malah katanya ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini.

“Pada masa ini, kami belum diberikan butiran cadangan itu, malah tiada perbincangan dengan kerajaan mengenainya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini kerajaan akan mendapatkan input MAHB serta Kumpulan Malaysia Airlines jika ada sebarang cadangan seumpama itu.

MAHB juga berkata, penting supaya badan pengatur seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) turut memberi pandangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Terdahulu, FMT memetik sumber berkata pengambilalihan seperti itu boleh menjejaskan KLIA disebabkan hasrat menjalankan perkhidmatan freight ekspres dan perjalanan udara komersial di SAAS.

Selain itu, kargo ekspres di SAAS akan bersaing dengan KLIA secara langsung dan menjejaskan usaha MAHB menempatkan KLIA sebagai hab kargo serantau.

Sumber itu juga berkata SAAS berkemungkinan bersaing dengan KLIA dalam pasaran penumpang premium lantas menjejaskan daya maju KLIA bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh sehingga memaksanya menjadi hab penerbangan kos rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.