Tak perlu ke balai polis, IPT keluar surat untuk pelajar pulang beraya

Tak perlu ke balai polis, IPT keluar surat untuk pelajar pulang beraya

Hanya tunjuk surat daripada IPT ketika lalui sekatan jalan raya, kata Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Suzeren Md Jamil.

Pergerakan pelajar IPT secara berfasa untuk pulang ke kampung ditetapkan mulai esok hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing, dan untuk kembali ke kampus, bermula 15 hingga 20 Mei.
PETALING JAYA:
Bagi memudahkan urusan perjalanan sempena cuti perayaan Aidilfitri, pihak institusi pengajian tinggi (IPT) akan mengeluarkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri kepada pelajar, ibu bapa atau penjaga.

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Suzeren Md Jamil, berkata ibu bapa atau penjaga hanya perlu menunjukkan surat berkenaan kepada anggota keselamatan di sekatan jalan raya (SJR).

“Pelajar, ibu bapa atau penjaga tidak perlu bersesak-sesak ke balai polis untuk memohon surat kebenaran bagi tujuan pergerakan pulang ke kampung dan balik ke kampus semula,” katanya ketika dihubungi dalam rancangan Malaysia Petang Ini (MPI) terbitan Bernama TV.

Beliau berkata, setakat ini pelajar hanya dibenarkan pulang dengan kenderaan sendiri, kenderaan ibu bapa, kenderaan yang diatur oleh IPT atau penerbangan sahaja.

Katanya, mereka tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak.

Pergerakan pelajar secara berfasa itu ditetapkan mulai esok hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing, dan untuk kembali ke kampus, bermula 15 hingga 20 Mei.

Pergerakan pulang hanya dibenarkan bagi pelajar yang berada di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP), PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP).

Pelajar dalam kawasan PKP diperketatkan (PKPD) perlu terus berada di kawasan masing-masing.

Suzeren berkata, selain itu pelajar yang sedang menjalani latihan industri (praktikal) juga dibenarkan pulang mengikut prosedur operasi standard (SOP) sama kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar yang sedang menyambung pengajian di kampus.

Apabila pulang ke kampus masing-masing, pelajar yang datang dari kawasan PKP perlu menjalani pengasingan di kampus atau kediaman masing-masing sebelum dibenarkan memulakan sesi pembelajaran.

“Kecuali bagi pelajar ke Sabah, mereka perlu mengikuti SOP semasa iaitu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum penerbangan ke sana,” kata Suzeren.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.