PKP Selangor: Masjid, surau dibenar operasi ikut ketetapan baharu

PKP Selangor: Masjid, surau dibenar operasi ikut ketetapan baharu

Bilangan terhad jemaah solat fardu, solat Jumaat dan Tarawih di daerah yang dikenakan perintah kawalan pergerakan.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, membenarkan 500 jemaah termasuk pentadbir menunaikan solat Jumaat manakala solat fardu dihadkan kepada 200 jemaah termasuk pentadbir.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor membenarkan masjid dan surau beroperasi mengikut ketetapan baharu bilangan terhad jemaah solat fardu, solat Jumaat dan solat Tarawih di daerah dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Jawatankuasa itu dalam kenyataan berkata, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, membenarkan 500 jemaah termasuk pentadbir menunaikan solat Jumaat manakala solat fardu dihadkan kepada 200 jemaah termasuk pentadbir.

Selain itu, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah solat sunat Tarawih dihadkan untuk 600 jemaah, sementara 550 jemaah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.

Bernama melaporkan, bagi masjid pengurusan dan masjid kariah, 100 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat, solat fardu, dan solat Tarawih di masjid berkenaan.

Sementara, di masjid institusi, seramai 200 jemaah pula dihadkan untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat Tarawih (200 muslimin), manakala di surau, seramai 50 orang dihadkan untuk menunaikan solat Jumaat, solat fardu dan solat Tarawih (50 muslimin).

“Surau kariah pula solat fardu dihadkan kepada 50 jemaah dan 50 muslimin dibenarkan menunaikan solat sunat Tarawih,” menurut kenyataan.

Bagaimanapun, solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Tarawih bagi daerah terlibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor adalah kekal mengikut ketetapan terdahulu.

Semalam, kerajaan menetapkan enam daerah di Selangor dikenakan PKP melibatkan Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Sepang dan Kuala Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.