Mustahil banteras rasuah tanpa fokus usaha cegah, Cuepacs beritahu SPRM

Mustahil banteras rasuah tanpa fokus usaha cegah, Cuepacs beritahu SPRM

Presidennya, Adnan Mat mempersoalkan bagaimana 1,000 anggota SPRM mahu memantau 1.62 juta penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, SPRM lebih banyak melakukan tangkapan melalui risikan dan berpakat dengan perasuah, sedangkan ia adalah agensi pencegahan, bukannya agensi penguatkuasaan.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, mustahil untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi ketirisan dan rasuah tanpa memfokuskan usaha pencegahan terlebih dahulu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, agensi anti-rasuah itu lebih banyak melakukan tangkapan melalui risikan dan berpakat dengan perasuah, sedangkan ia adalah agensi pencegahan, bukannya agensi penguatkuasaan.

Oleh itu, beliau menyarankan SPRM mengkaji SOP yang disifatkan longgar dalam jabatan dan agensi kerajaan.

“Dari situ, buat pencegahan dengan mengemas kini SOP tersebut untuk mengurangkan elemen yang mungkin menyebabkan rasuah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil yang agensi itu sedang merangka peruntukan undang-undang untuk dibentangkan kepada kerajaan.

Katanya, peruntukan undang-undang itu bersifat “misconduct in public office act” yang lebih khusus bagi menangani isu ketirisan dan salah laku seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Adnan berkata, walaupun terdapat undang-undang mencukupi, tetapi SPRM menghadapi masalah dari segi kekurangan tenaga kerja untuk melipat gandakan usaha pencegahan dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Sekarang kita ada kurang daripada 1,000 anggota SPRM untuk menjaga 1.62 juta penjawat awam.

“Jadi, mereka memang tidak mampu dari segi kekangan perjawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.