Warga Pakistan Muhammad Yaqoob, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Normaizan Rahim, manakala isterinya, Norizan Yahya, 52, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.
Yaqoob didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata terhadap seorang pelajar tahfiz berusia 7 tahun.
Jika sabit kesalahan, Yaqoob boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau disebat, atau kedua-duanya sekali.
Norizan pula didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap pelajar sama, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak antara 9 Mac dan 23 April lalu.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi Yaqoob dengan dua jaminan, dan dia diarahkan melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan.
Norizan pula dibenarkan ikat jamin RM2,000.
Kes akan disebut semula pada 18 Jun.
Polis sebelum ini menyerbu sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak dan menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara 7 hingga 15 tahun.
Pasangan itu yang menjaga pusat tahfiz berkenaan sejak Oktober 2020 turut ditahan.
“Semakan awal juga mendapati pusat tahfiz itu tidak mempunyai sebarang lesen daripada kerajaan tempatan dan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak.
Penderaan itu dikesan susulan laporan polis dibuat seorang bapa salah seorang pelajar di pusat berkenaan.
Lelaki itu membuat laporan polis selepas mendapati anaknya menangis dan ketakutan serta mengadu didera pasangan suami isteri yang menjaga pusat berkenaan.