Anak tak boleh ikut kerakyatan ibu: Saman 6 wanita ke perbicaraan penuh

Anak tak boleh ikut kerakyatan ibu: Saman 6 wanita ke perbicaraan penuh

Mahkamah Tinggi mengisytiharkan saman enam wanita dan NGO Family Frontiers tidak semberono mahupun remeh.

Enam ibu yang menyaman bersama NGO Family Frontiers dan pasukan peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan saman oleh sebuah NGO dan enam wanita diteruskan dalam perbicaraan penuh, selepas menolak permohonan kerajaan yang mahu membatalkan tuntutan mereka.

Hakim Akhtar Tahir berkata saman itu – yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah diskriminasi – tidak semberono, remeh, mahupun menyalahgunakan proses.

“Saya menolak permohonan membatalkan tuntutan ini. Bagi hal ini, nampaknya ada diskriminasi terhadap ibu tapi tak nyata apa justifikasinya,” katanya.

Hakim memerintahkan kerajaan mengemukakan afidavit menjawab saman NGO Family Frontiers dan enam wanita itu sebelum 27 Mei.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan Perkara 14(1)(b) Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua sebagai tidak sah atas alasan diskriminasi terhadap wanita.

Kata mereka, peruntukan berkenaan hanya membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara ikut kerakyatan si bapa, tetapi tidak boleh ikut kerakyatan si ibu.

Mahkamah akan mendengar merit kes mereka pada 30 Jun, selepas Family Frontiers dan kerajaan memasukkan hujah masing-masing.

Peguam NGO dan enam wanita berkenaan, Gurdial Singh Nijar, berkata mahkamah juga membenarkan mereka memasukkan Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dalam saman itu.

“Kami mahu mereka dipertanggungjawabkan atas setiap keputusan yang mungkin dibuat oleh mahkamah. Jabatan Peguam Negara diperintahkan untuk memberikan justifikasi (kenapa anak tidak boleh ikut kerakyatan ibu) melalui afidavit dan kami akan menjawabnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Family Frontiers, Suri Kempe, berkata mereka gembira dengan keputusan mahkamah.

“Kami gembira kerana suara kami akan didengari,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang turut hadir untuk menyokong kumpulan itu, menggesa Menteri Dalam Negeri mengutamakan reformasi kewarganegaraan dan bukannya berpolitik.

Hannah berkata ada permohonan kewarganegaraan belum selesai, yang menyebabkan kanak-kanak terbabit tidak dapat bersekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.