Abdullah Gani lonjak nama UMS, negara di mata dunia

Abdullah Gani lonjak nama UMS, negara di mata dunia

Pengiktirafan sebagai 'Top 1% Highly Cited Researcher 2020' diberi oleh Clarivate, sebuah syarikat peneraju inovasi global.

Pensyarah UMS, Abdullah Gani, menerima pengiktirafan sebagai ‘Top 1% Highly Cited Researcher 2020’ daripada Clarivate, baru-baru ini. (Gambar UMS).
KOTA KINABALU:
Menghasilkan kajian ilmiah bermutu dalam kerja penyelidikan merupakan keutamaan Abdullah Gani, 64, seorang penyelidik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diktiraf sebagai ‘Top 1% Highly Cited Researcher 2020’, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS itu berkata, keupayaan mengasingkan emosi dan profesionalisme supaya berada di tempat sepatutnya juga adalah ramuan penting dalam mencapai kejayaan kerana ia adalah faktor utama yang mengawal peri laku seseorang.

”Sebenarnya sepanjang keterlibatan dalam aktiviti penyelidikan, soal pengiktirafan tidak menjadi perhatian saya.

”Namun rupanya kunci keutamaan yang saya amalkan ini melayakkan saya untuk menerima beberapa pencapaian, termasuk pengiktirafan sebagai penyelidik 1% teratas yang paling banyak dipetik pada tahun 2020,” katanya kepada FMT.

Pengiktirafan sebagai ‘Top 1% Highly Cited Researcher 2020′ itu diberikan oleh Clarivate, sebuah syarikat peneraju global dalam memberikan pandangan dan analisis yang dipercayai dengan visi memperbaiki cara dunia mencipta, melindungi dan memajukan inovasi.

Abdullah berkata, penyelidikan yang membawa kepada pencapaian itu berkisar kepada “internet of things” dan “cloud computing” dengan pengkhususan kepada “mobile cloud computing”.

“Mobile cloud computing’ adalah kombinasi antara ‘cloud computing’ dengan ‘mobile devices’. Isu utama penyeldikan saya adalah bagaimana keupayaan tinggi ‘cloud computing’ itu dapat dimanfaatkan oleh ‘mobile devices’ seperti telefon pintar yang mempunyai keupayaan pemprosesan dan storan agak terhad.

Asynchronous offloading’ adalah kaedah yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Ketika menerima berita pengiktirafan itu, saya amat bersyukur dan gembira. Ia lebih bermakna kerana meletakkan nama negara dan UMS di persada dunia,” katanya.

Anak keempat daripada 10 adik beradik itu turut menyuarakan harapan agar semua pihak mempunyai jati diri yang tinggi bagi menggarap kejayaan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk negara bangsa tercinta.

“Kejayaan ini amat penting agar erti kemerdekaan yang sebenar dapat diterjemahkan. Sumbangan ilmu pengetahuan dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dan seterusnya mencapai kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UMS, Taufiq Yap Yun Hin berkata, pengiktirafan yang diterima Abdullah itu satu pencapaian yang sangat membanggakan UMS.

Taufiq Yap Yun Hin.

“Ia bukan sahaja mengharumkan nama universiti dan negara hingga ke persada dunia, tetapi membuka mata masyarakat global bahawa kita di UMS juga mempunyai pensyarah atau penyelidik berkualiti bertaraf antarabangsa.

“Saya ucapkan tahniah kepada Abdullah atas pencapaian ini dan sudah pasti ia akan menjadi suntikan dan pembakar semangat untuk kakitangan lain agar terus berdaya maju dalam bidang masing-masing,” katanya.

Abdullah sebelum ini turut diiktiraf sebagai “Saintis 2% Teratas Dunia Tahun 2020” oleh Universiti Stanford dan disenaraikan oleh ‘Guide2Research’ sebagai saintis komputer pada ranking pertama di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.