Ziarah raya di kawasan PKP hanya pada 1 Syawal, terhad 15 tetamu

Ziarah raya di kawasan PKP hanya pada 1 Syawal, terhad 15 tetamu

Ziarah dibenarkan hanya pada 1 Syawal bagi kawasan PKP, dan 1-3 Syaral bagi kawasan PKPB dan PKPP.

PETALING JAYA:
Aktiviti ziarah sempena Aidilfitri bagi kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dibenarkan pada 1 Syawal, dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa.

Manakala bagi kawasan bawah PKP Bersyarat dan Pemulihan, aktiviti ziarah hanya dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal, dengan syarat ketat, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Jumlah tetamu bagi kawasan PKPB diterhadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa, manakala bagi kawasan PKPP pula 25 orang.

Bagi kawasan bawah PKP Diperketatkan, aktiviti ziarah tidak dibenarkan dan sambutan raya hanya boleh melibatkan ahli keluarga yang tinggal sebumbung.

Sementara itu, amalan lazim seperti takbir raya dan solat sunat raya dibenarkan bagi masjid atau surau di kawasan PKP, PKPB, dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

Amalan sama tidak dibenarkan bagi masjid dan surau di kawasan PKPD.

Seperti dijangka, amalan takbir raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan bagi semua kawasan, manakala jumlah ahli jemaah solat raya tertakluk syarat.

Ziarah tanah perkuburan dibenarkan hanya di kawasan PKPB dan PKPP, dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur “serta tidak melebihi 30 minit”.

Amalan itu tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

Seperti dijangka, penganjuran majlis rumah terbuka tidak dibenarkan di semua kawasan.

Dalam pada itu, jamuan seusai solat raya di masjid dan surau tidak dibenarkan bagi kawasan PKP dan PKPD, dan dibenarkan secara bersyarat bagi kawasan PKPB dan PKPP.

“Jawatankuasa masjid atau surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang,” katanya.

Meskipun ziarah dibenarkan bagi kawasan tertentu, tuan rumah digalak menyediakan pengimbas suhu badan dan menggunakan Kod QR MySejahtera atau buku bagi mencatatkan nama dan nombor telefon tetamu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.