
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang awam kira-kira 7.30 petang Jumaat lalu dan mendapati mangsa yang belum diketahui identitinya sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Butir peribadi mangsa tidak dapat dikenal pasti. Mangsa telah ditemui terapung di tepi tebing Sungai Rambai, dalam kebun kelapa sawit lebih kurang satu kilometer dari Jalan Rawang, Bestari Jaya dalam keadaan terlentang,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berpakaian baju kemeja maroon dan berseluar jean, bagaimanapun bajunya dalam keadaan hampir tercabut serta berada dalam keadaan separuh bogel.
“Tiada sebarang identiti ditemukan pada mayat dan mangsa dipercayai warga tempatan berikutan terdapat suntikan BCG,” kata beliau.
Ramli berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa di Hospital Sungai Buloh mendapati, terdapat kesan kecederaan fizikal pada tubuh dan mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.
“Mana-mana pihak atau keluarga yang kehilangan ahli, boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor Mohd Sufian Amin di talian 012-6149580 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran,” kata beliau.