Mayat bayi mereput ditinggal dalam kotak plastik

Mayat bayi mereput ditinggal dalam kotak plastik

Seorang lelaki dilihat meletakkan kotak plastik berkenaan pada 27 April lalu selepas polis meneliti rakaman CCTV di sekitar premis perniagaan berdekatan tempat kejadian.

Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi.
PETALING JAYA:
Mayat bayi perempuan ditemui dalam keadaan sudah mereput di dalam kotak plastik, dipercayai ditinggalkan di belakang premis perniagaan di Jalan Kluang, semalam, kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkenaan pada jam 6.40 petang.

“Siasatan awal mendapati, bayi perempuan itu dipercayai ditinggalkan lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan tubuh badan yang sudah mula mereput,” kata beliau menurut laporan Harian Metro.

Ismail berkata, seorang lelaki dilihat meletakkan kotak plastik berkenaan pada 27 April lalu selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar premis perniagaan berdekatan tempat kejadian.

“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” kata beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4363300.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.