Lan Pet Pet gaduh lagi? Video pukul penghantar makanan tular

Lan Pet Pet gaduh lagi? Video pukul penghantar makanan tular

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung video tular dikatakan melibatkan pelawat tersebut dalam kejadian di hadapan Kedutaan Rusia.

Video yang tular di media sosial menunjukkan seorang penghantar makanan dipukul di hadapan Kedutaan Rusia baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung video tular mengaitkan pelawak Lan Pet Pet, atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, dengan kejadian seorang penghantar makanan dipukul di hadapan Kedutaan Rusia.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang pada 1 Mei dipercayai berpunca daripada salah faham.

“Polis mengesan satu video tular di media sosial membabitkan kejadian pergaduhan seorang pelawak. Video tersebut telah dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku di hadapan Kedutaan Rusia dan dikatakan tercetus akibat selisih faham di jalan raya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, pihaknya meminta individu yang terlibat tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan.

“Setakat ini, pihak penunggang motosikal tersebut masih belum membuat laporan polis,” kata beliau.

Menerusi video tersebut, seorang individu dikatakan pelawak dan pelakon dari kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher seorang lelaki dan memukul kepalanya.

Dapat diperhatikan menerusi video itu, tiga lelaki cuba meredakan keadaan dan menghalang individu terbabit terus dipukul.

Lan Pet Pet sebelum ini pernah mengundang kekecohan apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Dalam kes itu, dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.